[DIKEMASKINI] Pelajar IPT dibenar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri

Pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi negeri Sarawak. - Gambar hiasan
Pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi negeri Sarawak. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi pelajar Sarawak bermula 7 Mei ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut telah dibuat oleh mesyuarat sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 29 April.

Menurut KPT, para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan. KPT juga telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 hingga 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pula pada 15 hingga 20 Mei,” kata kenyataa itu pada Khamis.

Mengulas lanjut, KPT berkata, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Tambahnya, pergerakan pulang pelajar juga akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga dan menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

“Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali khidmat penerbangan. Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini,” ujarnya.

Menurut KPT, pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar IPT pulang sempena cuti perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Tambahnya, pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara tersebut boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

“Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” katanya.