Arsenal sedia berdepan Villarreal

Kehadiran semula Luiz pastinya akan menyuntik semangat rakan-rakan sepasukan bagi mengharungi perlawanan menentang Villarreal Jumaat ini.
Kehadiran semula Luiz pastinya akan menyuntik semangat rakan-rakan sepasukan bagi mengharungi perlawanan menentang Villarreal Jumaat ini.
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta yakin skuad kendaliannya bersedia untuk berdepan gergasi La Liga, Villarreal pada aksi separuh akhir pertama Liga Europa di Estadio de la Ceramica pada Jumaat.

Keyakinan itu disuarakan Arteta berikutan beberapa tonggak utama The Gunners dilaporkan bersedia untuk beraksi dan seterusnya membantu menghasilkan keputusan positif menjelang aksi separuh akhir kedua, 7 Mei nanti.

Arteta berkata, antara tonggak yang bakal kembali memperkuatkan pasukan adalah seperti tonggak pertahanan, David Luiz serta Pierre-Emerick Aubameyang.

“Saya yakin dengan kemampuan skuad kali ini terutamanya dengan tonggak pertahanan David Luiz yang diberitakan sudah boleh beraksi setelah pulih daripada kecederaan.

“Setelah lebih sebulan tidak beraksi bersama pasukan gara-gara kecederaan lutut yang dialaminya, Luiz kini dikhabarkan kembali cergas setelah menjalani rawatan.

“Selain itu, Pierre-Emerick Aubameyang juga semakin pulih daripada demam malaria dan berharap bintang Gabon itu dapat menyertai latihan pasukan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Arteta, kehadiran semula Luiz yang pernah membantu Chelsea dalam beberapa kejohanan penting di Eropah seperti memenangi Liga Juara-Juara pada 2012 serta Liga Europa pada 2013 dan 2019 lalu pastinya akan menyuntik semangat rakan-rakan sepasukan bagi mengharungi perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun Arteta berkata, situasi terkini bagi Aubameyang dan seorang lagi penyerang, Alexandre Lacazette hanya akan diketahui menjelang perlawanan setelah kedua-duanya tidak beraksi berdepan Everton, Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Arteta tidak menolak kemungkinan bahawa pertembungan Villarreal dan Arsenal pasti dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan berikutan ia juga disifatkan sebagai pertemuan semula The Gunners dengan bekas pengendali, Unai Emery.

“Ada yang mendakwa ia pertemuan 'reunion’ pasukan, tetapi bagi saya kali ini ia pertandingan berbeza dan dengan kembalinya beberapa pemain tonggak, kita mahu mencatatkan kemenangan,” katanya.