Isu Syed Saddiq: Pemuda PH tidak berdendam

Howard Lee (tengah) ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Howard Lee (tengah) ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
A
A
A

IPOH - Pemuda PH tidak akan membalas dendam terhadap insiden serangan ke atas ketua mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hari penamaan calon bagi PRK kawasan DUN Semenyih, Sabtu lalu.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pusat, Howard Lee berkata, pihaknya bersikap matang dengan menyerahkan segala tindakan lanjut terhadap perbuatan itu kepada pihak polis.

Katanya, sebarang keputusan diserahkan kepada polis setelah siasatan dibuat kerana negara mempunyai undang-undang.

"Perkara yang berlaku ke atas Syed Saddiq bukan ancaman kepada PH tetapi ancaman kepada sistem demokrasi negara.

"Walaupun dalam era Malaysia baharu, keganasan politik seperti masih lagi berlaku. Jadi kita serahkan semuanya kepada polis untuk menyiasat dan ambil tindakan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat G1, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Sementara itu, menurut Howard Lee, beliau sendiri pernah melalui insiden seumpama itu ketika PRK kawasan Kuala Kangsar sebelum ini apabila seorang individu daripada parti lawan mencekik lehernya.

Katanya, tindakan ganas seperti ini menyebabkan BN tewas pada PRU14 lalu dan pastinya PH tidak akan terikut dengan perbuatan seperti itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Howard Lee menjelaskan beliau berbangga dengan penampilan dua calon muda pada PRK kawasan Dun Semenyih kali ini. Katanya, anak muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk diketengahkan sebagai pemimpin.

PRK kawasan DUN Semenyih menampilkan pertandingan empat penjuru menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon daripada PH, BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon Bebas.

PH mencalonkan Muhammad Aiman Zainali sementara BN dan PSM masing-masing mencalonkan Zakaria Hanafi dan Nik Aziz Afiq Abdul. Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bertanding atas tiket calon Bebas.