Video Aidilfitri Prasarana angkat si bulus sebagai watak utama

Barisan kakitangan Prasarana yang terlibat dengan pembikinan video Aidilfitri bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Majlis Iftar Bersama Media dan Previu Video Raya Kumpulan Prasarana pada Selasa
Barisan kakitangan Prasarana yang terlibat dengan pembikinan video Aidilfitri bergambar bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Majlis Iftar Bersama Media dan Previu Video Raya Kumpulan Prasarana pada Selasa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bertemakan kongsi rezeki, video Hari Raya Aidilfitri 1442H oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menampilkan kucing sebagai watak utama dalam menyampaikan mesej kemasyarakatan khusus berdepan cabaran dan impak pandemik Covid-19.

Menurut Prasarana, watak kucing yang diberi nama Oyen itu menjadi ikon untuk kempen media sosial Rapid KL.

Diilhamkan oleh Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Cik Rafizah Amran, video tersebut merupakan hasil karya sumber dalaman Syarikat.

Video berdurasi tiga minit itu dipaparkan untuk tontonan umum pada Majlis Iftar Bersama Media pada Selasa dan akan disiarkan di platform media sosial Prasarana dan Rapid pada Jumaat ini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah.

Paparan video berkenaan menggunakan perspektif Oyen terhadap aktiviti sekitar operasi Rapid KL, khidmat stafnya dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Kisah bermula Oyen berada di atas mesin tiket di sebuah stesen LRT dan memerhatikan penumpang memasuki stesen, perjalanan ceritanya dikembangkan dengan inisiatif Prasarana dan stafnya membantu dan berkongsi rezeki dengan peniaga, anggota barisan depan dan kucing di stesen itu.

Kisah itu seperti pendekatan Prasarana iaitu membantu peniaga makanan di sepanjang jajaran perkhidmatan Rapid KL termasuk hab bas yang terjejas oleh penularan wabak Covid-19 menerusi program ‘Rapid KL Support Lokal’.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,000 peniaga barangan makanan termasuk daripada atas talian menerima manfaat apabila program itu telah berkembang kepada ‘Rapid KL Support Lokal 2.0’ baru-baru ini.

Pada masa sama, CSR 'Singgahsahur dengan Frontliners’ dan CSR Ramadan bakal diteruskan dengan program kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaaan (NGO), Women of Will.

Sumbangan Aidilfitri kepada ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah (B40) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Selangor akan disampaikan pada 10 Mei ini.