24 CCTV dipasang sekitar Ipoh kekang jenayah

Sidang akhbar Rumaizi selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI April 2021 di Ipoh pada Selasa.
Sidang akhbar Rumaizi selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI April 2021 di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengaktifkan semula konsep bandar selamat dengan meningkatkan infrastruktur dan kawalan penguatkuasaan di pusat bandar itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, program itu akan diteruskan bagi mengekang jenayah khususnya yang berlaku pada waktu malam.

Menurutnya, sebanyak 24 kamera litar tutup (CCTV) statik dan bergerak telah ditempatkan di sekitar bandar raya berkenaan setakat ini.

"Tidak lengkap kalau sesebuah kerajaan tempatan tidak meneruskan konsep bandar selamat. Kita mempunyai CCTV dan akan ditingkatkan lagi. Banyak kes yang dilaporkan berlaku terutama waktu malam.

"Justeru itu, konsep bandar selamat akan dilaksanakan dari masa ke masa bermula tahun ini selari dengan Ipoh sebagai bandar tumpuan pelancongan dan bandar raya seni," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI April 2021 di sini pada Selasa.

Rumaizi berkata, toleransi sesama masyarakat merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam mewujudkan persekitaran selamat.

"Didikan penting dalam membentuk masyarakat lebih harmoni terutama hubungan antara kaum serta mengelak sebarang provokasi.

"Kita yang tinggal dalam bandar raya pelbagai kaum perlu hormat menghormati antara satu sama lain. Pencegahan adalah lebih baik sekali gus dapat membentuk bandar selamat itu sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, MBI memperuntukkan RM11 juta untuk menaik taraf perkhidmatan pembersihan kepada warga kota.

"MBI memberi fokus menukar aset baharu dengan membeli 23 buah lori untuk kerja-kerja pembersihan dalam mencapai hasrat menjadikan Ipoh bandar raya terbersih negara menjelang 2023.

"Kenderaan baharu dijangka diterima pada Jun ini menggantikan kenderaan usang yang berusia antara enam hingga 18 tahun. Setakat ini MBI masih meneruskan penggunaan lori sedia ada dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan dari masa ke masa," katanya.