KBS kenal pasti IKBN boleh dinaik taraf tawar diploma

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat Bengkel Pembaikan Struktur Pesawat sempena perasmian bengkel tersebut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan hari ini. Foto: Bernama
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melawat Bengkel Pembaikan Struktur Pesawat sempena perasmian bengkel tersebut di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PEKAN - Kementerian Belia dan Sukan sedang mengenal pasti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang boleh dinaik taraf dengan menawarkan program peringkat diploma sebagai persediaan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, terdapat 22 buah IKBN di seluruh negara ketika ini dan ada antaranya sudah dikenal pasti untuk dinaik taraf sebagai Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dalam usaha meningkatkan gaji permulaan graduan.

"Ketika ini, kebanyakan gaji permulaan untuk lepasan IKBN adalah antara RM1,400 hingga RM1,600... jika (IKBN) dinaik taraf kepada IKTBN, mereka (graduan) boleh memperoleh antara RM1,800 atau RM1,900 sebagai (gaji) permulaan.

"Oleh itu, KBS sedang berusaha menaiktaraf IKBN yang ada kepada IKTBN... sebelum menaik taraf, kita kena pastikan terlebih dahulu kelengkapan dan kemudahan yang ada di IKBN ini ditingkatkan.

"... ini semua adalah sebahagian usaha KBS dalam mempersiapkan belia berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0," katanya selepas merasmikan Bengkel Pembaikan Struktur Pesawat IKBN Pekan, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Datuk Wasitah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Shamsuhaime Nasir.

Syed Saddiq turut berkata, IKBN Pekan antara institusi kemahiran yang sedang dipertimbangkan untuk dinaik taraf sebagai IKTBN berikutan penawaran kursus berimpak tinggi dan mempunyai peluang pasaran pekerjaan yang sangat kompetatif.

"Kursus pembaikan (struktur) pesawat di IKBN Pekan adalah sangat signifikan dengan kebolehan Malaysia meletakkan bidang aeroangkasa sebagai antara industri strategik.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, bidang minyak dan gas menawarkan pendapatan lumayan... maknanya, semua ada di sini (IKBN Pekan) jadi mungkin boleh dinaik taraf kepada IKTBN selepas ini," katanya.

Dalam masa yang sama bakal siswazah IKBN dan Institut IKTBN diminta bersedia menghadapi tekanan dan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

"Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bakal dipenuhi generasi muda dengan pelbagai kemahiran baharu selaras dengan perubahan teknologi digital. Mahu atau tidak, mereka perlu meningkatkan kemahiran diri sejajar dengan kehendak semasa.

"Jadi saya melihat kepentingan IKBN dan IKTBN dilengkapi segala keperluan dan bekerjasama dengan pemain industri bagi memastikan pelajar mahir dalam pelbagai bidang termasuk automasi, robotik, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dan internet untuk segala-galanya (IoT)," katanya. - Bernama