Sakit sendi: Jangan ambil ringan!

Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik, Dr Anwar Samhari Mat Arshad (Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang Dr Anwar).
Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik, Dr Anwar Samhari Mat Arshad (Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang Dr Anwar).
A
A
A

Mengalami sakit sendi ketika bangun tidur atau pada waktu pagi antara petanda awal seseorang itu menghidap Artritis atau radang sendi.

Radang sendi yang dihadapi bukan sahaja menyebabkan kesakitan malah penghidapnya akan mengalami kekakuan sendi dan kelemahan otot sehingga membataskan seseorang itu melakukan aktiviti harian.

Penyakit kronik ini tidak boleh dipandang ringan malah jika tidak dirawat dengan segera ia boleh menyebabkan kerosakan sendi kekal, sekaligus menjejaskan kualiti hidup.

Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik, Dr Anwar Samhari Mat Arshad berkata, sekiranya Artritis dapat dikesan dan dirawat awal selepas enam bulan penyakit itu bermula kebarangkalian pesakit untuk sembuh sangat tinggi.

Namun jika lewat mendapatkan rawatan, potensi untuk sembuh hanya 50 peratus dan boleh mengakibatkan masalah lain terutama pergerakan.

"Radang sendi adalah penyakit yang sangat serius sama seperti penyakit kronik lain dan ia tidak seharusnya dipandang ringan.

"Pesakit mungkin boleh berdepan dengan masalah psikologi seperti tekanan dan kemurungan, tidak mampu bekerja sehingga menjejas pendapatan malah mungkin mengakibatkan hubungan keluarga terjejas," katanya kepada Sinar Harian.

Rheumatoid arthritis (RA)

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Artritis yang paling umum ialah jenis rheumatoid arthritis (RA) iaitu kecelaruan sistem imun badan selepas tersilap menyerang tisu badan sendiri selain ia boleh berlaku disebabkan faktor mekanikal.

RA juga lebih menyerang golongan wanita dengan nisbah empat wanita dan hanya seorang lelaki berisiko dan lazimnya mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Petanda seseorang itu mengalami RA bermula dengan merasai kekakuan sendi pada waktu pagi namun kesakitan itu beransur pulih menjelang tengah hari.

"Radang sendi boleh menyebabkan bengkak dan kejang pada sendi dan akan menyebabkan keletihan biasa atau keletihan yang teruk sekaligus menjadikan penghidap berasa diri tidak sihat.

"Mereka akan rasa sakit di bahagian sendi kecil seperti di pergelangan tangan, jari dan juga jari kaki sehingga tidak boleh bergerak," katanya.

Menawarkan perkhidmatan dan tempat yang selesa untuk pesakit.
Menawarkan perkhidmatan dan tempat yang selesa untuk pesakit.

Lebih berbahaya lagi, sistem imun atau antibodi yang celaru boleh menyerang paru-paru, kelenjar badan, mata serta organ badan yang lain.

Pesakit yang mengidap RA perlu mendapatkan rawatan segera daripada pakar rheumatologi yang bertauliah untuk mengelak risiko kerosakan kekal pada sendi.

"Jika dahulu pakar rheumatologi di Malaysia sangat terhad dan tertumpu di kawasan Lembah Kelang, namun kini terdapat 55 orang pakar di seluruh negara dan setiap negeri.

"Terdapat beberapa cara untuk mengesan penyakit ini antaranya mendapatkan maklumat serta sejarah pesakit secara penuh, membuat pemeriksaan fizikal yang lengkap selain ujian darah khas, imbasan x-ray, ultra-sound dan imbasan magnetik resonan (MRI)," katanya yang memiliki klinik pakar sendi di Seberang Jaya.

Selepas disahkan menghadapi penyakit itu, pesakit akan dirawat dengan ubat DMARD (disease modifying anti-rheumatic drug) yang boleh mengurangkan gejala dan menyembuhkan penyakit.

Berbeza dengan ubat tahan sakit atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory drugs) yang sering digunakan hanya akan mengurangkan rasa sakit tetapi tidak menghilangkan punca penyakit.

Artritis juga terdapat dalam jenis lain seperti lupus eritematosus sistematik (SLE), gout dan artritis psoriatik.

SLE

Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus adalah penyakit kronik auto imun di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu badan seseorang pesakit itu.

Menurut Dr Anuar, SLE lebih berbahaya berbanding RA kerana ia menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan.

Katanya, perkataan lupus berasal dari perkataan Latin bererti serigala. Ia diambil kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.

"Gejala yang biasa dialami oleh pesakit ialah radang kulit dan sakit sendi (arthritis), selalunya di iringi oleh keletihan dan demam. Penyakit SLE ada masanya tidak aktif iaitu dapat dikawal (remission) dan ada masanya menjadi aktif (relapse).

"SLE juga berisiko terhadap wanita dan biasanya menyerang mereka yang berumur di antara 15 dan 45 tahun. Bagaimanapun, sebilangan kecil pengidap SLE adalah kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 45 tahun," katanya.

Penyakit ini juga perlu segera dirawat kerana ia berisiko merebak ke bahagian buah pinggang dan menyebabkan ia rosak hingga terpaksa melakukan dialisis sepanjang hidup.

Lebih membimbangkan ia juga boleh menyerang ke bahagian otak dan mengakibatkan strok.

Osteoarthritis

Penyakit radang rawan sendi lutut atau lebih dikenali osteoarthritis iaitu primer dan sekunder. Ia boleh menyerang semua sendi jenis tisu lembut (sinovium) tetapi lebih berisiko terhadap sendi besar yang menampung berat badan seperti sendi pinggul, lutut dan pergelangan kaki.

Tulang rawan yang menipis atau haus adalah punca kesakitan pada sendi lutut. Banyak faktor mendorong penipisan tulang rawan itu, termasuk tekanan atau stres pada lutut akibat penggunaan ketika aktiviti seharian.

"Bagi osteoarthritis primer, kebanyakan pesakit mula mengalami simptom seawal usia 40-an dan faktor utama penyakit adalah berkaitan genetik selain aktiviti dan berat badan berlebihan.

"Osteoarthritis sekunder pula disebabkan faktor luaran yang bertindak ke atas rawan sendi sehingga menyebabkan gejala osteoarthritis terjadi. Ia boleh dialami oleh golongan berusia seawal 30-an jika tidak ditangani segera," katanya.

Meskipun ia bukan penyakit berbahaya tetapi kesannya memberi tekanan kepada pesakit apabila ubat tahan sakit tidak mampu melegakan kesakitan ditanggung.

Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang Dr Anwar (Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik) terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang Dr Anwar (Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik) terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

INFO:

Lokasi: Pusat Pakar Perubatan Sendi, Urat dan Tulang Dr Anwar (Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik) terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Matlamat utama: "Rawatan Tanpa Pembedahan"

Hubungi talian 0164148095 kami akan memberi rawatan yang terbaik untuk anda!