Perak FC tumbang di Ipoh

Sebahagian aksi perlawanan di antara Perak FC menentang Melaka United di Stadium Perak, di sini pada Ahad. Foto Perak FC
Sebahagian aksi perlawanan di antara Perak FC menentang Melaka United di Stadium Perak, di sini pada Ahad. Foto Perak FC
A
A
A

PERAK FC gagal memanfaat peluang bermain di laman sendiri apabila tewas kepada Melaka United pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini pada Ahad.

Selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah pada 17 April lalu di venue sama, Perak FC kini mencatat kekalahan kelima dalam 10 perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini.

Pasukan tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan pada minit awal permainan dengan percubaan pertama pada minit ke-3 diperoleh menerusi rembatan Mohamad Izzuddin Mohd Roslan yang tepat ke arah penjaga gol Melaka United, Norazlan Razali.

Beberapa perubahan dilakukan oleh Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt pada perlawanan kali ini antara lain meletakkan penjaga gol muda, Muhammad Azri Ab Ghani dalam kesebelasan utama selain pemain import, Leandro Dos Santos diberi tanggungjawab sebagai kapten.

Minit ke-23, Melaka United membuat pertukaran awal pemain apabila mengeluarkan Che Rashid Che Halim dengan diganti Mohamad Hasbullah Abu Bakar.

Berselang dua minit kemudian, pemain tengah Melaka United, S Kumaahran dilayangkan kad kuning pertama perlawanan selepas mengasari pertahanan Perak FC, Muhammad Shakir Hamzah.

Cubaan demi percubaan diatur Melaka United namun usaha mereka membolosi pertahanan Perak FC gagal dalam 30 minit perlawanan babak pertama itu.

Peluang terbaik diperoleh pasukan lawan muncul pada minit ke-37 menerusi percubaan Ahmad Syahmim Yahya namun berjaya ditepis ke luar penjaga gawang Perak.

Artikel Berkaitan:

Berbaki seminit sebelum tamat masa sebenar perlawanan, Mohamad Idris Ahmad dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali selepas mengasari pemain Melaka United, Ahmad Syahmim.

Tamat babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan.

Bersambung babak kedua, Perak FC meneruskan asakan dengan beberapa serangan awal ke arah gawang Melaka United.

Namun Melaka United memperoleh peluang mendahului perlawanan menerusi tandukan cantik Sukwon Jang yang menggegar palang gol.

Tidak lama selepas itu, pemain pertahanan lawan, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dilayangkan kad kuning kerana mengasari pemain Perak.

Perak FC kemudiannya membuat pertukaran pertama dengan memasukkan Muhammad Firdaus Saiyadi menggantikan Mohamad Izzuddin.

Pada minit ke-60, Melaka United menghukum kesilapan pertahanan tuan rumah menerusi apabila bekas pemain kebangsaan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan melalui umpanan mudah Stefan Nikolic menjadikan kedudukan 0-1.

Berselang lima minit selepas itu, pertahanan Perak FC, Muhamad Danish Haziq Saiful Hisham dilayangkan kad kuning selepas mengasari pemain Melaka United, Ahmad Syahmim.

Perak FC kemudian catur strategi dengan memasukkan dua muka baharu iaitu Kenny Pallraj dan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-71.

Percaturan itu menampakkan hasil apabila beberapa percubaan berjaya dicipta Perak FC namun ketangkasan penjaga gawang Melaka United, Norazlan menafikan usaha tuan rumah menyamakan kedudukan.

Kedudukan 0-1 berjaya dipertahankan oleh Melaka United sehingga ke wisel penamat biarpun Perak FC cuba menyamakan kedudukan pada saat akhir.

Tamat perlawanan Perak FC gagal memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut di Stadium Perak sekaligus meletakkan mereka turun ke kedudukan 10 Liga Super.