Asdy Global Ventures santuni asnaf, ibu tunggal

Sebahagian daripada 30 asnaf dan ibu tunggal yang menerima bantuan pek makanan sumbangan Asdy Global Ventures sempena program Secebis Bantuan, Sebesar Harapan di Taman Putra Perdana di sini.
Sebahagian daripada 30 asnaf dan ibu tunggal yang menerima bantuan pek makanan sumbangan Asdy Global Ventures sempena program Secebis Bantuan, Sebesar Harapan di Taman Putra Perdana di sini.
A
A
A

PUCHONG - Keceriaan jelas terpancar pada wajah 30 asnaf dan ibu tunggal yang menerima bantuan pek makanan sumbangan Asdy Global Ventures sempena program Secebis Bantuan, Sebesar Harapan di Taman Putra Perdana di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Asdy Global Ventures, Khairul Aswhat Tajul Amar berkata, Ramadan diraikan penuh kesyukuran serta keinsafan dan ianya memberi kesedaran bagi menyalurkan sesuatu yang mampu memberikan kegembiraan buat golongan itu.

“Selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan masyarakat tempatan, sumbangan ini juga sebagai sedekah infaq sempena bulan Ramadan kepada golongan memerlukan di kawasan ini,” katanya pada majlis itu.

Program tersebut merupakan siri pertama dilaksanakan sempena bulan Ramadan dengan kerjasama Masjid Taman Putra Perdana, F&N Beverages, Kaereste dan Sinar Harian.

Program siri kedua pada 24 April depan di Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu.

Khairul Aswhat
Khairul Aswhat

“Mungkin sumbangan yang diberikan tidak seberapa tetapi diharapkan dapat meringankan beban individu yang menerima. Rezeki yang saya terima kita kongsi bersama,” kata Khairul Aswhat lagi.

Artikel Berkaitan:

Selain sumbangan pek makanan, Asdy Global Ventures turut mengedarkan 1,000 mangkuk bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong bersama kariah Masjid Taman Putra Perdana.

Seorang penerima, Sarifah Mat Diah berkata, sumbangan itu dapat meringankan bebannya yang berniaga nasi lemak selepas kematian suami sejak enam tahun lalu.

“Ini merupakan kali pertama saya menerima sumbangan daripada syarikat korporat. Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Asdy Global Ventures kerana memberi sumbangan ini,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kaereste, Muhamad Hafiz Feroz; Ketua Divisyen Penajaan & Acara F&N Beverages, Fauzi Ahmad; Nazir Masjid Taman Putra Perdana, Mohd Thalji Ahmad Bakery dan Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Chendren Balakrishnan.

Sekiranya ada individu atau syarikat korporat yang mahu menyumbang dan menjayakan kempen Secebis Bantuan Sebesar Harapan, boleh menghubungi Pengurus Jabatan Komunikasi Pemasaran, Mohd Farreez Rahmat (012 653 7345).