MSN sasar 33 atlet layak ke Sukan Olimpik Tokyo

Ahmad Shapawi (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Onn Hafiz pada Flag Off Program Road To Tokyo di lobi Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Johor Bahru pada Ahad.
Ahmad Shapawi (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Onn Hafiz pada Flag Off Program Road To Tokyo di lobi Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyasarkan jumlah atlet negara yang layak beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo kepada 33 orang, manakala 35 orang bagi Sukan Paralimpik Tokyo.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, buat masa ini proses kelayakan ke kejohanan itu masih berjalan dan setakat ini seramai 12 atlet negara sudah berjaya menempatkan diri.

“Setakat ini 12 orang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo, manakala bagi paralimpik sudah 14 orang yang layak. Tapi kita mencadangkan untuk tiket (ke sana), lebih kurang 33 orang atau kurang kerana banyak kejohanan kelayakan telah dibatalkan.

“Bagi paralimpik, mungkin dalam 35 orang, tertakluk kepada kelayakan sehingga bulan Jun nanti. Insya-ALLAH, kalau ada kejohanan kelayakan, kita akan sertai. Minggu depan ada atlet kita yang akan kejohanan kelayakan dan dari situ, mungkin kita akan dapat pertambahan atlet yang layak,” katanya ketika ditemui selepas Flag Off Program Road To Tokyo di lobi Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di Johor Bahru pada Ahad.

Turut serta ialah Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata, atlet terjun negara mempunyai peluang terakhir untuk memburu tiket kelayakan pada kejohanan terjun Piala Dunia 2021 yang akan berlangsung di Tokyo pada 1 hingga 6 Mei ini.

Beliau berkata, terdapat pelbagai kejohanan kelayakan yang akan disertai dan yakin ia mampu meningkatkan jumlah atlet negara untuk meraih slot ke temasya sukan berprestij dunia itu.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Sukan Paralimpik pada 24 Ogos sehingga 5 September 2021.

Artikel Berkaitan: