Kapten Brighton layak beraksi bersama England

Dunk (kanan) beraksi cemerlang di benteng Brighton pada musim ini. - Foto AFP
Dunk (kanan) beraksi cemerlang di benteng Brighton pada musim ini. - Foto AFP
A
A
A

JURULATIH Brighton, Roberto De Zerbi mendedahkan Lewis Dunk merupakan watak utama membantu Seagulls beraksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus layak ke saingan Eropah musim depan.

Malah kapten Seagulls berusia 31 tahun itu juga bermain dalam kesakitan untuk memastikan pasukan meraih slot Liga Europa.

“Dia bermain dalam kesakitan kerana dia mempunyai masalah betis dan belakang tetapi dia tetap bermain setiap perlawanan,” katanya.

De Zerbi mengakui Dunk mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya yang berintensiti tinggi selepas dia menggantikan Graham Potter pada September tahun lalu.

Bagaimanapun pengendali dari Itali itu berkata, Dunk berjaya mengukuhkan statusnya sebagai pemain utama dan 'layak' untuk beraksi dalam kancah bola sepak antarabangsa mewakili pasukan kebangsaan England.

“Pada mulanya ia tidak begitu mudah untuk dia memahami idea saya tetapi dia sentiasa bersedia sepenuhnya,” kata De Zerbi

Pengurus England, Gareth Southgate akan menamakan skuadnya bagi mengharungi aksi kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan Macedonia Utara bulan depan.

Dunk pernah berada dalam skuad Southgate ketika mereka menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam aksi persahabatan pada November 2018 tetapi tidak lagi beraksi untuk negaranya selepas itu.

Brighton mengesahkan tempat ke saingan Europa musim depan dengan baki dua perlawanan selepas menang 3-1 ke Southampton.