Pemimpin UMNO hadiri mesyuarat MKT

Tajuddin tiba di Menara Datuk Onn bagi menghadiri Mesyuarat MKT UMNO pada Ahad.
Tajuddin tiba di Menara Datuk Onn bagi menghadiri Mesyuarat MKT UMNO pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin UMNO berkumpul di Menara Dato Onn di sini pada Ahad bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Mesyuarat pertama selepas Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu itu dijangka panas kerana parti berkenaan dikatakan bakal mengemukakan beberapa cadangan besar.

Cadangan itu termasuk menentukan tempoh masa untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bahang kehangatan mesyuarat itu terasa apabila kelibat pemimpin berkenaan dilihat tiba seawal jam 11 pagi.

Antara pemimpin yang tiba lebih awal ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan ahli MKT yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Lebih ramai ahli MKT dilihat tiba mulai jam 3 petang termasuk Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Difahamkan mesyuarat berkenaan akan bermula selepas solat Asar dan sebelum mesyuarat bermula, pemimpin UMNO yang hadir terlebih dahulu akan membuat rakaman takbir raya.

Dalam PAU 2020 sebelum ini, UMNO membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungan Presiden turut memaklumkan bahawa parti itu akan menentukan satu tarikh untuk Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Dalam pada itu, difahamkan juga isu rakaman suara yang mengaitkan Presiden UMNO dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut meskipun penafian telah dibuat oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.