Mohd Reduan alu-alukan Bernhardt kendali semula The Lions

Bernhardt ketika mengendalikan sesi latihan pemain-pemain UiTM sebelum ini. Foto: UiTM FC
Bernhardt ketika mengendalikan sesi latihan pemain-pemain UiTM sebelum ini. Foto: UiTM FC
A
A
A

KETUA Jurulatih UiTM FC, Mohd Reduan Abdullah akur dan mengalu-alukan Frank Bernhardt untuk kembali memimpin skuad The Lions, jika benar pihak pengurusan memutuskan untuk meneruskan khidmat jurulatih dari Jerman itu.

“Saya sebagai jurulatih interim sahaja, kalau Frank balik (semula ke UiTM) kita akur dengan keputusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan.

“Mungkin kembalinya semula beliau, ada nafas-nafas baharu yang boleh dikongsi pada kita, kita alu-alukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan UiTM FC menentang PJ City FC, pada Sabtu.

Jaringan tunggal M Tamilmaran pada minit ke-81 meletakkan PJ City FC sebagai pemenang sekali gus meranapkan harapan UiTM FC untuk mengutip tiga mata penuh.

UiTM FC kini menghuni tangga tercorot Liga Super berikutan kekalahan pada Sabtu dan dijadual bertandang ke Kuantan, Pahang berdepan Sri Pahang FC pada perlawanan berikutnya.

Sebelum ini, jurulatih kelahiran Jerman berusia 51 tahun itu dilaporkan telah direhatkan susulan prestasi buruk UiTM FC yang gagal mencatat kemenangan setelah mengharungi tujuh perlawanan dan hanya mampu mengutip satu mata hasil keputusan seri ketika menentang Penang FC.

Sebagai rekod, Bernhardt yang juga bekas jurulatih Bawah 22 tahun (B-22) negara dilantik sebagai pengendali UiTM FC awal tahun lepas dan berjaya mengemudi pasukan menghuni kedudukan keenam Liga Super musim lalu.

Pencapaian itu boleh dianggap membanggakan pada penampilan pertama mereka dalam kancah Liga Super apabila menepis andaian yang mereka bakal menjadi pasukan 'lauk' pada musim lalu, namun kecemerlangan itu tidak dapat diteruskan pada musim ini apabila mereka bergelut selepas hanya berjaya mengutip satu mata dan meledak tiga gol dalam tujuh perlawanan.

Artikel Berkaitan: