PKR lancar petisyen desak naik taraf bekalan air bersih

Cheng Chung (kiri) dan Zuraidi menunjukkan borang petisyen yang akan diedarkan bagi mengumpulkan tanda tangan penduduk mendesak tindakan segera kerajaan negeri menaiktaraf sistem penyaluran bekalan air bersih di Kuantan.
Cheng Chung (kiri) dan Zuraidi menunjukkan borang petisyen yang akan diedarkan bagi mengumpulkan tanda tangan penduduk mendesak tindakan segera kerajaan negeri menaiktaraf sistem penyaluran bekalan air bersih di Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota melancarkan petisyen bagi mendesak kerajaan negeri menyegerakan usaha menaiktaraf sistem penyaluran bekalan air bersih di daerah ini.

Usaha itu dilakukan sebagai platform dalam menyuarakan suara pengguna terutama penduduk di beberapa kawasan yang sering berdepan masalah gangguan bekalan air kebelakangan ini.

Ketua PKR Indera Mahkota, Lee Cheng Chung berkata, pelancaran petisyen #NaiktarafSistemPaipAir itu sebagai satu isyarat supaya masalah bekalan air diberi perhatian segera bagi mengelak ia terus berulang dan menyusahkan pengguna.

Menurutnya, gangguan bekalan air semakin kerap berlaku di daerah ini disebabkan paip pecah, tekanan air rendah, pam rosak dan sebagainya telah memberi kesan kepada aktiviti seharian penduduk.

"Usaha mengumpul tandatangan penduduk melalui petisyen ini diharap dapat perhatian kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) untuk mencari langkah penyelesaian bagi menjamin bekalan air yang berterusan kepada penduduk di sini,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Petisyen NaiktarafSistemPaipAir di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, Chan Chun Kuang.

Cheang Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, pihak Paip dan agensi berkaitan juga perlu ada perancangan komprehensif untuk mengatasi isu ini secara jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan kumpul sebanyak mungkin tandatangan penduduk melalui petisyen ini dalam tempoh sebulan sebelum ianya diserahkan untuk perhatian pihak-pihak berkenaan.

"Justeru orang ramai diseru mengambil peluang menandatangani petisyen ini sama ada secara dalam talian atau hadir sendiri ke Pusat Khidmat DUN Semambu atau Pusat Komuniti Keadilan DUN Beserah,"katanya.

Cheng Chung berkata, pihaknya juga akan turun padang mengumpul tandatangan penduduk termasuk melalui program-program yang dianjurkan.

Sementara itu, Zuraidi berkata, sebagai sebuah ibu negeri berstatus bandar raya, masalah bekalan air tidak sepatutnya berlaku di Kuantan.

Menurutnya, agak malang apabila perkara sebaliknya pula berlaku.

"Kita menerima aduan daripada orang ramai terutama di sekitar Alor Akar di sini yang mana ada peniaga makanan tidak dapat berniaga dan ada yang terpaksa membeli air di pasar raya kerana kerana tidak sempat menyimpan air.

"Kita meminta jaminan kerajaan negeri mengambil tindakan segera supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan segera," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini dapat disalurkan dengan lancar kepada pengguna.

"Kita harap tiada penduduk yang terpaksa beraya tanpa air dan pihak Paip perlu sentiasa bersedia dengan persiapan komprehensif bagi berdepan kemungkinan gangguan bekalan air berlaku pada musim perayaan ini," katanya