X

Kindly register in order to view this article
!

Empat diserang sakit jantung diselamatkan sejak AED dipasang

Kon Yeow membuat demonstrasi penggunaan AED pada Majlis Pelancaran Alat AED Taman Bukit Dumbar, pada Sabtu.
A
A

GEORGETOWN - Empat orang yang diserang sakit jantung di tempat awam berjaya diselamatkan selepas pemasangan alat Automated External Defribillator (AED) di beberapa lokasi terpilih di negeri ini sejak 2015.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak ia dilancarkan enam tahun lalu, sebanyak 66 mesin AED telah dipasang dan ditempatkan di tempat-tempat awam terpilih.

Menurutnya, bagaimanapun orang ramai tidak digalakkan hanya mengharapkan alat tersebut semata-mata kerana AED tidak akan dipasang pada setiap kawasan di Pulau Pinang.

"Pemasangan alat AED ini sangat membantu, namun jangan terlalu mengharapkan pemasangannya kerana ia tidak akan dipasang pada setiap inci tempat. Apa yang lebih baik adalah, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah (risiko) serangan jantung,

"Secara umum, kira-kira 40 peratus kes serangan jantung adalah berpunca daripada paras kolesterol yang tinggi yang mana faktor adalah tekanan hidup.

"Oleh itu, saya mohon agar semua ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin tempatan supaya terus melaksanakan program pendidikan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan menggunakan AED," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Alat AED Taman Bukit Dumbar di sini, Sabtu.

Sebelum itu, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim menyumbangkan RM15,000 untuk pemasangan dua unit baharu AED untuk kepentingan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan tersebut.

Sementara itu, Siew Khim berkata, satu unit AED bakal dipasang di Taman Bukit Dumbar, manakala satu unit lagi akan diserahkan kepada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Pinang.

Pada 2019, terdapat 62 buah peranti AED yang berdaftar di bawah Program Penang Heart Safe telah diletakkan di tempat awam antaranya kawasan komuniti yang mempunyai peranti tersebut adalah Komtar; Taman Botani, Persiaran Gurney dan Padang Kota Lama.

Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan pemasangan 10 unit alat peranti AED di tempat awam terpilih di negeri ini bagi membantu mangsa serangan jantung.

Peranti AED itu dilancarkan pada 4 September 2015 yang mana Tingkat 3, Komtar adalah lokasi pertama dipasang iaitu pada 20 Disember 2015.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!