KBS bidas tindakan sekolah tetapkan sukan mengikut kaum

Tangkap layar ciapan Reezal Merican di Twitternya pada Sabtu.
Tangkap layar ciapan Reezal Merican di Twitternya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas tindakan sebuah sekolah di Johor yang didakwa menetapkan syarat penyertaan murid pelajar tingkatan satu dalam sesetengah aktiviti kokurikulum serta sukan mengikut kaum.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana aktiviti sukan dan kokurikulum seharusnya menjadi agen perpaduan khususnya kepada pelajar di sekolah.

"Dasar Sukan Negara 2009 juga tidak menggariskan sebarang pendekatan mahupun polisi berasaskan perkauman dan agama. Sukan sepatutnya ‘color blind’, melangkaui sempadan budaya dan menjadi agen perpaduan. Ini tindakan yang tidak wajar dan terkebelakang.

“Tiada polisi atau pendekatan sebegini dalam Dasar Sukan. Kita mahu pendemokrasian sukan bermula di sekolah,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Reezal Merican membalas ciapan pengguna Twitter @sharwinsubra05 yang mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat, pengguna Twitter itu telah berkongsikan sekeping gambar yang menunjukkan surat senarai pendaftaran aktiviti kokurikulum dan sukan bagi pelajar tingkatan satu yang didakwa terbuka kepada satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menetapkan sukan bola sepak hanya terbuka untuk Melayu, bola keranjang (Cina), ping pong (Cina, bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

Artikel Berkaitan: