X

Kindly register in order to view this article
!

Parlimen Malaysia #QuranHour hayati Surah Al-Mulk

Dari kiri: Timbalan Yang Dipertua KESPA, Sujairi Abdullah, Fazrul, Nor Yahati dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Dewan Negara, Riduan Rahmat menunjukkan sokongan World #QuranHour selepas sertai Parlimen Malaysia #QuranHour.
A
A
SHAH ALAM - Parlimen Malaysia julung kali mengadakan Parlimen Malaysia #QuranHour bertajuk “Tadabbur: Kehebatan Surah Al-Mulk (Kerajaan)” bagi pengisian rohani sempena Ramadan kepada kakitangannya di Parlimen, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Jurucakap Parlimen berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini dianjurkan oleh Biro Agama Kelab Sukan dan Kebajikan Parlimen (KESPA) dan Puspanita.

Turut hadir, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Nor Yahati Awang bersama 50 pegawai dan kakitangan dengan mematuhi penjarakan sosial dan mematuhi Prosedur Operasi Standard, manakala 100 peserta lain mengikuti secara atas talian.

“Sepanjang Ramadan, Parlimen Malaysia menganjurkan ceramah agama setiap Jumaat. Cuma ini pertama program bertadabbur Surah Al-Mulk diadakan sempena mengambil semangat World #QuranHour yang membawa misi surah tersebut, pada 6 Mei ini.

“Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini menarik minat peserta untuk menghayati isi kandungan Surah Al-Mulk.

Aktiviti dimulakan dengan bacaan Surah Al-Mulk dari ayat 1 hingga 5 yang dibimbing oleh Qari Amir Lutfi Makhtar, Penolong Setiausaha Pengurusan Dewan Rakyat. Sesi tadabbur Surah Al-Mulk disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Beliau yang juga Pentadabbur My #QuranTime di TV AlHijrah berkata, sesi tersebut membincangkan lima ayat daripada Surah Al-Mulk mengenai keberkatan, kematian, dan menjadi lebih baik, serta sentiasa menyemak dan turun ke bawah untuk mengetahui tentang hakikat kerajaan dan organisasi.

“Antara mesej penting daripada Surah Al-Mulk, kita perlukan barakah dan bantuan ALLAH SWT sebab kita tidak mampu menjaga diri 24 jam, apatah lagi menjaga keluarga dan organisasi.

“Apa yang penting kita perlu sedar hakikat kematian dengan sentiasa memperbaiki hidup kita agar menjadi orang yang mendapat bantuan ALLAH SWT,” katanya.

Pada 13 April lalu, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Nor Yahati Awang mewakili Parlimen Malaysia menerima set Wakaf Al-Quran untuk Ummah daripada wakil Sekretariat WUIF, Hashim Anang bagi menyediakan Quran Corner bagi kemudahan warganya untuk mendekatkan diri dengan al-Quran.

Nor Yahati berkata, kebanyakan masa kita dihabiskan di tempat kerja. Dengan adanya Quran Corner di Parlimen, ia memberi peluang kepada kakitangan beragama Islam untuk membaca al-Quran.

“Agama dan kehidupan kita tidak boleh dipisahkan. Al-Quran menjadi panduan dan penawar mujarab bagi masalah hati terbaik.”

Pada majlis yang sama, Pihak KESPA menyampaikan kurma kepada 385 kakitangan melalui 12 wakil sub bahagian sempena Ramadan.

World #QuranHour tahun ini diadakan di Masjid Tuanku Mizan sebagai lokasi perdana pada 24 Ramadan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!