Kerajaan tetap bina 1j rumah mampu milik

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

[DIKEMASKINI] PUCHONG - Kerajaan PH akan tetap menunaikan janji untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun khususnya bagi golongan B40.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu juta bukanlah angka yang kecil namun kerajaan optimis akan dapat mencapainya walaupun ada halangan.

"Ini bermakna setiap tahun kita kena buat 100,000 rumah mampu milik. Rumah tak mampu milik memang banyak, tapi ia bukan sasaran kita untuk golongan B40.

"Rumah mampu milik mestilah selesa untuk diduduki. Walaupun murah tapi kemudahannya tak kurang berbanding rumah mewah, itulah sasaran kita," katanya ketika berucap merasmikan Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Taman Puchong Indah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu,Dr Mahathir berkata, usaha membina rumah mampu milik perlu mendapat kerjasama pihak swasta.

"Kita dapat kerjasama dengan swasta kerana kerajaan tak mungkin mampu dirikan sejuta rumah dalam masa 10 tahun. Nampaknya banyak pihak swasta sambut baik rancangan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, harga rumah mampu milik ditetapkan RM300,000 ke bawah dan bergantung kepada pendapatan lokaliti di sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggalakkan agar setiap kawasan perumahan atau kampung mewujudkan komuniti masing-masing.

"Kita harap dengan adanya komuniti tersusun dan dilengkapi kelab boleh menjadi perantara untuk menyampaikan masalah penduduk setempat kepada wakil rakyat. Ia juga boleh dilengkapi bengkel bagi membolehkan mereka terlibat dengan perniagaan serta memajukan ekonomi komuniti setempat, " katanya.

Katanya, perumahan didirikan bukan semata-mata sebagai tempat tinggal tapi untuk memajukan diri dan masyarakat.