14.56 juta rakyat Malaysia dibanci

Mohd Uzir (kiri) bersama pegawainya berbincang semasa program turun padang Jabatan Perangkaan Malaysia dengan media sempena Banci Malaysia 2020.
Mohd Uzir (kiri) bersama pegawainya berbincang semasa program turun padang Jabatan Perangkaan Malaysia dengan media sempena Banci Malaysia 2020.
A
A
A

PUCHONG - Seramai 14.56 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) sehingga Jumaat.

Ketua Perangkawan yang merupakan Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pihaknya menjangkakan bancian tersebut dapat diselesaikan di seluruh negara menjelang akhir Jun ini.

Beliau yang turun padang memantau di sekitar Bandar Puteri di sini pada Isnin berkata, tempoh bancian yang bermula sejak Februari tahun lalu sudah mencapai hari ke-280 sehingga Isnin.

“Antara negeri yang mencatat bacaan tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 100 peratus, diikuti Johor 64 peratus dan Perak sebanyak 60 peratus.

“Bagi Kelantan pula sebanyak 59 peratus, Melaka dan Perlis masing-masing 56 peratus, Terengganu 53 peratus, Negeri Sembilan 51 peratus, Pulau Pinang 50 peratus, Kedah dan Selangor masing-masing 42 peratus, Kuala Lumpur 36.4 peratus, Pahang 34.1 peratus, Wilayah Persekutuan Labuan 31 peratus dan Sabah sebanyak 22 peratus,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Mohd Uzir berkata, walaupun ada segelintir enggan memberi kerjasama kepada pembanci yang datang ke rumah, namun setelah pihaknya menjelaskan mengenai kepentingan banci tersebut dibuat, mereka lebih yakin memberikan maklumat.

“Antara soalan yang ditanya adalah penambahbaikan sistem perkhidmatan negara dan naik taraf kemudahan kesihatan, pendidikan, penjagaan warga emas, pengangkutan, pengurusan sampah dan sebagainya yang memberikan keselesaan kepada masyarakat.

“Berdasarkan pemerhatian pada Isnin, kita mendapati kebanyakan penduduk menyedari mengenai kepentingan banci dibuat yang bertujuan untuk pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

“Ia adalah contoh yang baik. Kita menggesa rakyat Malaysia untuk bekerjasama dengan memberikan maklumat diperlukan dan membantu untuk perancangan negara dengan lebih baik,” katanya.

Mohd Uzir berkata, selain mengisi bancian secara dalam talian (online) melalui e-Census, bancian juga dibuat secara temu bual bersemuka dengan bantuan gajet (CAPI), temu bual bersemuka menggunakan borang (PAPI), temu bual melalui panggilan telefon (CATI) dan pengambilan borang soal selidik (DOPU).

Menurutnya, penggunaan kaedah CAPI mendapat catatan tertinggi iaitu sebanyak 49.5 peratus, diikuti e-Census sebanyak 47.3 peratus, PAPI sebanyak 2.8 peratus, CATI 0.3 peratus dan DOPU sebanyak 0.1 peratus.

“Kita masih menggunakan e-Census dan lawatan temu bual rumah ke rumah dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita memerlukan komitmen daripada penghuni yang belum dibanci untuk memberikan kerjasama dan memutuskan sama ada mereka ingin ditemubual secara bersemuka (PAPI atau CAPI) atau mengisi maklumat bancian online,” katanya.

Cabaran

Mohd Uzir berkata, pembanci yang ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dari rumah ke rumah perlu mem-buat bancian sebanyak 10 hingga 12 buah rumah sehari, dengan purata sekitar 45 minit sesi temu bual di sebuah rumah.

Menurutnya, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka adalah terdapat penghuni rumah yang memberi alasan ingin bergegas ke tempat kerja atau mempunyai urusan mustahak untuk diselesaikan.

Namun, katanya, jika penghuni rumah tidak mahu ditemubual, pembanci akan berkunjung ke rumah tersebut supaya mereka dapat memberikan maklumat dalam keadaan tenang.

“Halangan untuk pembanci di kawasan luar bandar adalah dari segi perjalanan untuk sampai ke lokasi penduduk. Mereka perlu menaiki kereta atau bot dan tinggal di sana selama beberapa hari untuk menyelesaikan bancian.

“Di kawasan bandar pula, pembanci sukar memasuki kawasan kondominium yang mempunyai sistem palang automatik dan susah untuk diakses orang luar.

“Kami berurusan dengan pihak Datuk Bandar, pengurusan bangunan dan ketua komuniti untuk mendapatkan akses masuk ke kawasan tersebut bagi memudahkan proses bancian dibuat,” katanya.

Mohd Uzir berkata, bancian juga turut dijalankan kepada 410,000 warga asing dan bukan warganegara di seluruh negara.“Kami akan menghantar notis kepada majikan untuk mengambil maklumat berkenaan pekerja mereka terutamanya warga asing,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama duta-duta luar negara bagi menjelaskan mengenai pelaksanaan bancian di Malaysia.

“Antara cabaran yang dihadapi apabila berdepan penghuni rumah warga asing adalah mereka biasanya tinggal beramai-ramai, jadi masa yang diambil untuk mengisi bancian agak lama.

“Bagi memudahkan proses bancian, kita juga menyediakan soalan-soalan bancian yang diterjemahkan kepada lebih tujuh bahasa selain bahasa Melayu dan Inggeris iaitu Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Jepun dan Korea,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penghuni di Taman Wawasan di sini, Noraidah Jahar, 51, berkata, bancian tersebut penting bagi memastikan golongan yang memerlukan seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapat bantuan yang sebaiknya.

Menurutnya, kerajaan boleh membantu golongan berkenaan berdasarkan data yang diperoleh supaya peruntukan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada kumpulan yang memerlukan.

“Melalui bancian ini, kerajaan mendapat maklumat mengenai golongan yang memerlukan dan mereka dapat dibantu dengan sewajarnya.

“Disebabkan sekarang bancian boleh dibuat secara online, sebaiknya kita melakukannya segera.

“Ia membolehkan masyarakat memberitahu masalah yang mereka hadapi dan kerajaan pula boleh membantu mereka,” kata Noraidah.