Hulur RM400,000 sumbangan Ramadan

Mohd Salleh (depan kiri) menyerahkan cek kepada imam Masjid Tunku Intan Safinaz mewakili 50 masjid di Kuala Kedah.
Mohd Salleh (depan kiri) menyerahkan cek kepada imam Masjid Tunku Intan Safinaz mewakili 50 masjid di Kuala Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR- Yayasan Salleh Saidin (YSS) memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menyalurkan sumbangan dalam Parlimen Kuala Kedah sempena sambutan Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pihaknya sentiasa menjalankan kerja-kerja amal untuk masyarakat terutama di Kedah kerana prihatin terhadap masalah masyarakat.

Katanya, YSS sentiasa mendekati dan menyantuni masyarakat seperti golongan B40, anak yatim, ibu tunggal, warga emas, pelajar dan mangsa bencana melalui program khidmat sosial dan kerja amal.

"Justeru, YSS mengambil inisiatif berkongsi rezeki dan meraikan ketibaan Ramadan melalui Program lhya Ramadan bersama masjid dalam Parlimen Kuala Kedah tahun ini.

"Melalui Program Ihya Ramadan, kita menyumbangkan RM500 untuk setiap masjid menjadikan keseluruhan RM25,000 membabitkan 50 masjid di Parlimen Kuala Kedah supaya mereka dapat menampung perbelanjaan pada bulan mulia itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Ihya Ramadan Yayasan Salleh Saidin Bersama Masjid di seluruh Parlimen Kuala Kedah di Masjid Tunku Intan Safinaz di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, YYS turut menyalurkan sumbangan 150 naskhah al-Quran,150 kotak kurma, 100 sampul raya,150 takwim Ramadan kepada setiap masjid di kawasan berkenaan untuk diagihkan buat seluruh jemaah pada malam solat sunat terawih nanti.

Beliau berkata, program itu juga merupakan kaedah terbaik untuk membolehkan YSS menzahirkan rasa terima kasih dan mendekati serta menyantuni masyarakat di Kuala Kedah khususnya masyarakat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, YSS turut merancang beberapa aktiviti sepanjang Ramadan seperti pemberian baucar belian ayam dan daging kepada 5,500 penerima sempena Aidilfitri bagi membantu serta meringankan beban penduduk terkesan akibat pandemik," katanya.

Mohd Salleh berkata, sehubungan itu, pelbagai program khidmat sosial dan kerja amal telah dilaksanakan YSS demi membantu masyarakat tidak kira sama ada di Kedah atau negeri lain sejak 2014.

Beliau berharap sumbangan tidak seberapa ini akan memberi manfaat kepada semua masjid amnya dan jemaah khususnya, sekali gus mengukuhkan ukhuwah sesama Islam.

Sementara itu, Pengarah YSS, Abdul Azid Husin berkata, pihaknya bercadang mengadakan agihan 'food bank' berupa makanan keperluan harian kepada masyarakat memerlukan di sekitar Parlimen Kuala Kedah selepas bulan Ramadan ini.

Katanya, YSS turut berhasrat meraikan anak yatim melalui Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim dan tahfiz serta mengadakan program singgah sahur di beberapa lokasi demi berkongsikan rezeki dengan masyarakat memerlukan.

Beliau yang juga Imam Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan turut menambah, mereka berpegang kepada konsep ‘setiap rezeki yang diperolehi harus dikongsi dengan orang lain dan berusaha untuk meringankan bebanan masyarakat dengan menganjurkan program-program khidmat sosial dan kerja amal.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad berkata,beliau memuji usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu menyalurkan sumbangan Ramadan.

"Yayasan Salleh Saidin bukan hanya memberi saguhati wang tunai kepada masjid malah turut menyalurkan sumbangan al-Quran, kurma, takwim Ramadan dan sampul raya untuk kegunaan mereka,"katanya.

Halimaton berkata, beliau menyambut baik usaha murni dan kerja amal Yayasan Salleh Saidin yang amat prihatin apabila membantu penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, Kedah negeri orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti, sekali gus kerja kebajikan dialu-alukan dan usaha Yayasan Salleh Saidin diharap menjadi contoh kepada pihak lain.