PRU15: Bekas ahli Parlimen UMNO perlu cari kerusi lain

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dinasihatkan memilih kerusi Parlimen lain untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, kerusi yang dimenangi mereka ketika PRU14 adalah milik UMNO dan wajar diserahkan kembali kepada parti berkenaan.

Beliau mencadangkan ahli Parlimen yang meninggalkan parti itu boleh memilih kerusi Parlimen lain seperti Bukit Bintang dan Seputeh yang bukan milik UMNO pada pilihan raya lalu.

“Sebanyak 15 kerusi mereka bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO di 15 (kawasan) itu, satu kerusi di Labuan melompat ke Warisan. Jadi yang melompat dari UMNO ini (semuanya)16. 15 campur 1.

"Yang melompat ke PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ini ada antara mereka menyebut, itu kerusi mereka, itu tidak betul, itu kerusi UMNO, itu kerusi BN.

“Saya cadangkan 15 orang ini pergi bertanding tempat lain, mereka boleh bertanding di Bukit Bintang, Seputeh, Kepong... Boleh berlawan di situ, bukankah mereka semua itu demokrat yang ada kekuatan untuk bertanding di kawasan ini.

“Yang kerusi UMNO minta maaflah Datuk-Datuk, Yang Berhormat-Yang Berhormat, (kerusi UMNO) kita akan ambil kerusi itu,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan di UMNO Online Sabtu malam.

Isu kerusi yang dimenangi oleh bekas ahli Parlimen UMNO dikatakan antara punca rasa tidak puas hati pemimpin parti itu dengan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, UMNO sehingga kini dilihat bertegas mahu bertanding di semua kerusi yang dimenangi parti berkenaan dalam PRU14 yang lalu.