Penunggang motosikal langgar pegawai polis diberkas

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Seorang pegawai polis cedera setelah dirempuh penunggang motosikal dalam operasi trafik yang dijalankan di Plaza Tol Templer arah Barat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari ketika pegawai tersebut bertugas di lokasi berkenaan bersama beberapa anggota yang lain.

"Semasa membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ telah merempuh mangsa menyebabkannya terjatuh dan cedera di bahagian kepala dan pinggang.

"Suspek kemudian telah melarikan diri sejauh tiga kilometer namun berjaya ditangkap oleh anggota bertugas," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Selayang.

"Mangsa dimasukkan ke zon kuning untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Jelasnya, suspek yang melanggar mangsa merupakan warga tempatan berumur 37 tahun.

"Pemeriksaan dijalankan mendapati suspek tiada lesen memandu selain cukai jalan motosikal yang ditunggangnya telah tamat tempoh.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.