SPR lantik 134 pemerhati bagi PRK Semenyih

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melantik 134 pemerhati terdiri daripada wakil 12 organisasi dan dua individu berkelayakan untuk memantau PRK DUN Semenyih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi itu termasuk Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Bersih 2.0, Kelab Pemikir Politik Nasional, Institut Darul Ihsan, Malaysia Corruption Watch, Malaysia For Free and Fair Elections (Mafrel) dan Persatuan Kebajikan Suara India Malaysia (MIV).

Turut menjadi pemerhati ialah seorang pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang calon PhD UKM.

Beliau bercakap pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK 2 Mac itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam. Tempoh rasmi berkempen ialah sehingga 11.59 malam, 1 Mac.

“Anggaran (peratusan keluar mengundi) itu (dibuat) kerana dinamik (mereka) yang terlibat dalam PRK kali ini, dan SPR juga menjangkakan mungkin akan dapat tercapai malah mungkin lebih daripada itu," katanya.

PRK Semenyih bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, BN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta seorang calon bebas.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

Dalam pada itu, antara penambahbaikan yang diteruskan pada PRK kali ini ialah pewujudan dua saluran bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas dan tambahan waktu mengundi selama 30 minit iaitu dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

SPR turut menambah 31 saluran baharu di pusat mengundi yang ramai mengundi, menjadikan 119 saluran secara keseluruhan. SPR membuka lebih 20 pusat mengundi bagi PRK itu.

Hari mengundi awal PRK Semenyih ialah 26 Februari.