Perak FC tamat kemarau kemenangan di laman sendiri

Pemain Perak FC meraikan gol ketika menentang UITM FC pada saingan Liga Super di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
Pemain Perak FC meraikan gol ketika menentang UITM FC pada saingan Liga Super di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perak FC akhirnya menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri apabila mencatat keputusan 3-2 menewaskan UiTM FC di Stadium Perak di sini pada Ahad.

Lebih manis lagi, kemenangan itu disaksikan penyokong yang hadir ke Stadium Perak buat kali pertama musim ini.

Pasukan tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan pada minit awal permainan dengan dua percubaan tepat sekaligus memberikan tekanan kepada jentera pertahanan UiTM FC.

Ketiadaan kapten Perak FC, Shahrul Mohd Saad sedikit sebanyak mengganggu bahagian pertahanan yang diketuai Muhammad Shakir Hamzah.

Minit ke-15, Perak FC memperoleh satu lagi peluang menerusi rembatan Kenny Pallraj namun dinafikan penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri yang berjaya menepis keluar.

Selang dua minit selepas itu, pasukan UiTM FC dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import mereka, Nana Poku dijatuhkan pertahanan Perak FC, Mohd Idris Ahmad di dalam kotak penalti.

Peluang itu disempurnakan dengan mudah oleh Nana Poku sekaligus meletakkan UiTM FC mendahului tuan rumah dengan jaringan 1-0.

Pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasharuddin melayangkan kad kuning kuning pertama ke atas penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif kerana cuba melewatkan perlawanaan diikuti layangan kad kuning kedua kepada pemain pelawat, Muhamad Farid Nezal.

Artikel Berkaitan:

Pasukan UiTM FC terus menambah derita Perak FC apabila Nana Poku menambah satu lagi jaringan menewaskan Muhammad Hafizul Hakim yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan pasukan tuan rumah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-40.

Ketika perlawanan babak pertama hampir tamat, Perak FC berjaya merapatkan jurang pada masa kecederaan menerusi jaringan Careca yang mengambil kesempatan keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol pasukan UiTM FC.

Bersambung babak kedua, UiTM FC membuat pertukaran pemain pertama dengan membawa masuk Amirul Aiman Ibrahim menggantikan Muhamad Farid.

Perak FC berpeluang menyamakan kedudukan menerusi rembatan Careca namun berjaya ditampan keluar penjaga gawang UiTM FC.

Pada minit ke-54, penjaring gol UiTM FC, Nana Poku dilayangkan kad kuning apabila menjatuhkan penyerang Perak FC, Sergio Aguero diikuti layangan kad kuning ke atas pemain Perak FC, Kenny Pallraj selang beberapa minit selepas itu.

Pasukan tuan rumah kemudiannya memperoleh penalti selepas Leandro dos Santos dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-67.

Peluang bagi menyamakan kedudukan itu tidak disia-siakan penyerang Perak FC, Guilherme de Paula yang menyumbat masuk gol meletakkan permainan kembali seimbang dengan kedudukan 2-2.

Pasukan UiTM FC pada minit ke-76 membuat dua pertukaran serentak memasukkan Ariff Ar- Rashid Ariffin dan pemain import, Abou Bakr Al Mel.

Tidak menghiraukan strategi yang sedang diatur pihak lawan, Perak FC meneruskan asakan ke kubu lawan untuk menambah jaringan.

Hasilnya, selang dua minit kemudian, pasukan kendalian Chong Yee Fatt itu berjaya memperoleh jaringan ketiga sekali lagi menerusi rembatan pemain tengah Careca yang gagal ditampan kemas penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif menjadikan kedudukan 3-2.

Perak FC kemudiannya membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Muhammad Rafiuddin Roddin dan Mohamad Izzuddin Mohd Roslan.

Kedudukan 3-2 berjaya dipertahankan oleh Perak FC sehingga ke wisel penamat biarpun UiTM FC cuba menyamakan kedudukan pada saat akhir.

Tamat perlawanan Perak FC berjaya memperoleh kemenangan pertama di Stadium Perak selepas bangkit dari ketinggalan 0-2 menewaskan UiTM FC.