Sindiket umpan mangsa nombor telefon 'cantik'

Gambar hiasan.- Foto 123RF
Gambar hiasan.- Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menasihatkan orang ramai yang mahu memilih nombor telefon menarik supaya berwaspada bagi mengelakkan ditipu sindiket berkenaan.

Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket yang berurusan melalui dalam talian itu mengumpan mangsa dengan nombor menarik tetapi tidak menghantar nombor selepas transaksi wang dilakukan mangsa.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berkenaan penipuan penjualan nombor telefon khas (010-9899999) yang didakwa dikeluarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

"Ia membabitkan mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an baru-baru ini.

"Mangsa melihat iklan tersebut melalui Facebook sebelum menghubungi penjual. Setelah bersetuju dengan harga yang ditawarkan mangsa telah membuat pembayaran.

"Bagaimanapun, penjual menghilangkan diri dan nombor yang dibeli tidak diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, mengikut rekod, tahun 2019 sebanyak 3,514 kes dicatatkan berkaitan kes penipuan e-dagang dan telah meningkat kepada 5,847 kes pada tahun berikutnya.

"Namun, pada tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,132 kes dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, dalam usaha mencegah penipuan sedemikian, orang ramai digesa sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam transaksi jual beli secara dalam talian," katanya.