MFL umum tambahan aksi Liga-M sepanjang Ramadan

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

SEPERTI dijangka, kesemua kelab Liga Super dan Liga Premier akan mengharungi jadual padat sepanjang bulan Ramadan nanti susulan pindaan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) mulai 23 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan pindaan itu dibuat selepas mengambil kira permohonan skuad kebangsaan untuk mengadakan kem latihan pusat bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Jika berdasarkan jadual sebelum ini, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

“Namun, disebabkan perubahan berlaku membabitkan pertukaran jadual asal Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta permohonan daripada pasukan kebangsaan, kita terpaksa meminda semula jadual perlawanan.

“Ini menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier akan bermain empat perlawanan sepanjang bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Beliau memberitahu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan tarikh baharu bagi saingan ACL yang melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana dipinda kepada 21 Jun hingga 7 Julai depan.

Sebagai rekod, JDT yang diundi di dalam Kumpulan G bersama kelab Nagoya Grampus (Jepun ), FC Pohang Steelers (Korea Selatan) dan Ratchaburi FC (Thailand) dijadualkan beraksi secara berpusat di Thailand.

“Selain ACL, tumpuan juga harus diberikan kepada wakil negara seperti Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang akan bermain pada Piala AFC secara berpusat di Singapura pada 22 hingga 28 Jun,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pindaan tarikh tempoh pendaftaran kedua juga terpaksa dilakukan selepas perubahan terbaharu kalendar Liga-M musim ini.

“Pindaan jadual akan menyebabkan pergerakan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super dan Liga Premier dan memberikan kesan kepada tempoh pendaftaran kedua pemain.

“Saingan Liga Super bakal tamat pada 14 Ogos manakala Liga Premier dijangka tamat pada 8 Ogos dan undian Piala Malaysia akan diadakan sebelum tamat liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan untuk Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

“Justeru tarikh baharu bagi tempoh pendafaran kedua pemain adalah bermula 3 Mei hingga 30 Mei 2021 di mana tarikh asalnya adalah 5 Julai hingga 1 Ogos 2021,” jelasnya.