Kemenangan penuh bergaya West Brom

Allardyce bersama pemain West Brom setelah tamat perlawanan.
Allardyce bersama pemain West Brom setelah tamat perlawanan.
A
A
A

PENGENDALI West Brom, Sam Allardyce menyifatkan kemenangan 5-2 ke atas Chelsea di Stamford Bridge kelmarin, sebagi kemenangan yang penuh bergaya.

Menurut Allardyce, pihaknya turut teruja dengan kemenangan berkenaan yang cukup bermakna buat skuad The Baggies itu.

“Kami bermula baik dengan memberikan tekanan kepada lawan menerusi taktikal yang telah direncanakan sejak tiga minggu lalu dan ternyata ia berjaya diterjemahkan oleh pemain menerusi kemenangan penuh bergaya ini.

“Kami juga boleh menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan ini tetapi kami akui agak ‘tumpul’ dari segi sentuhan penyudah.

“Bagaimanapun, kualiti serta kawalan bola telah menghasilkan keputusan yang hebat buat kami kali ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Chelsea membuka jaringan menerusi Christian Pulisic pada minit ke-27.

Bagaimanapun, The Blues terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan kental, Thiago Silva dilayangkan kad merah pada minit ke-29.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya oleh kesebelasan West Brom untuk terus mengasak dan akhirnya Matheus Pereira berjaya menjaringkan dua gol pantas pada masa kecederaan babak pertama sebelum Callum Robinson menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63 dan diikuti oleh Mbaye Diagne pada minit ke-68.

Artikel Berkaitan:

Ketinggalan 1-4 bagaimanapun tidak melemahkan semangat The Blues dan Mason Mount kemudiannya merapatkan jurang gol menerusi jaringan kedua pada minit ke-71, namun Callum Robinson menjaringkan gol kelima pelawat pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan penuh gaya The Baggies kali ini.

Sementara itu, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mengakui agak terkejut dengan kekalahan berkenaan, apatah lagi setelah menyaksikan The Blues menjaringkan gol pembukaan.

Bagaimanapun katanya, semua pihak termasuk dirinya perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.

“Walaupun sukar menerima kekalahan ini, tetapi kami perlu menerima hakikat bahawa kami tewas kepada pasukan yang lebih baik.

“Walaupun kami telah bertahan dengan baik, tetapi kami kerap melakukan kesilapan hingga menyebabkan kekalahan ini,” katanya.