BN, Pas jangan bertembung dalam PRU15: Noh

Noh (dua dari kanan) meninjau operasi mesin cetak UV digital oleh Botol Anggun di Taman Industri Balakong Jaya pada Sabtu.
Noh (dua dari kanan) meninjau operasi mesin cetak UV digital oleh Botol Anggun di Taman Industri Balakong Jaya pada Sabtu.
A
A
A

BALAKONG - "Elakkan logo Barisan Nasional (BN) dan Pas bertembung semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti."

Itu reaksi Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika diminta mengulas hala tuju Muafakat Nasional (MN) di Selangor.

Noh berkata, kaedah yang digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa kawasan sebelum ini perlu diteruskan oleh BN dan Pas.

"Apabila UMNO letak calon, Pas jangan letak calon. Itu yang kita buat semasa PRK Selangor seperti di Sungai Kandis, Seri Setia dan Semenyih.

"Prinsip ini sangat mudah, tiada pertembungan tetapi jika parti lain nak letak calon maka kita harus lawan.

"Kalau UMNO nak lawan parti lain, Pas kena tolong, begitu juga sebaliknya," katanya selepas Majlis Perasmian Mesin Percetakan UV Digital Botol Anggun di Taman Industri Balakong Jaya pada Sabtu.

Menurutnya, Pas dan UMNO perlu saling membantu seperti yang dipersetujui dalam MN sebelum kewujudan Perikatan Nasional (PN).

"Walau apa pun yang akan berlaku, kalau betul kita nak perpaduan Melayu kita kuat, prinsip yang saya pegang di Selangor adalah Pas dan UMNO jangan bertembung.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Pas dan UMNO boleh mengelak bertembung, maka hasrat perpaduan akan tercapai, " katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini Ahad lalu berkongsi hasil Mesyuarat Tertinggi BN bahawa parti itu akan bertanding solo atas jenama BN dan lambang dacing.

Ahmad Zahid berkata, ketetapan tersebut bukan hanya daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).