Final Piala TNB: UniKL, THT siap sedia berentap

Marhan (dua dari kiri) dan Faizal (dua dari kanan) memegang Piala TNB dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.
FOTO: FB MHC
Marhan (dua dari kiri) dan Faizal (dua dari kanan) memegang Piala TNB dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO: FB MHC
A
A
A

PERTEMBUNGAN dua pasukan gergasi - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu dijangka menyajikan saingan sengit.

Atas kertas, UniKL yang tampil selaku juara treble tampak lebih ampuh bersandarkan kepada kejayaan mereka menjuarai saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021.

Bagaimanapun, THT yang memburu gelaran keenam Piala TNB sudah tentu mempunyai ramuan tersendiri bagi memerangkap UniKL di pentas final kali ini.

Pengendali THT, K Rajan berkata, anak-anak buahnya kini berada di kemuncak prestasi selepas mereka mengharungi perlawanan demi perlawanan sejak 11 Mac lalu.

“Bagi saya, peluang kedua-dua pasukan sama rata pada final esok kerana masing-masing mempunyai kelebihan terutamanya dengan kehadiran pemain senior dan junior kebangsaan.

“Saya akui kekuatan UniKL sebagai juara dua piala setakat ini tetapi esok, ceritanya berbeza, apa saja boleh berlaku. Kami sedia mengekang kemaraan dan impian UniKL untuk menjulang Piala TNB,” katanya.

Kapten THT, Faizal Saari pula berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan berusaha sebaik mungkin untuk merangkul kejuaraan Piala TNB kali ini.

"Untuk perlawanan esok, siapa yang bijak mengambil peluang akan memperoleh kemenangan. UniKL adalah pasukan pilihan kerana memiliki pemain kebangsaan seperti Razie (Rahim), Marhan (Jalil), Sukri (Abd Mutalib) dan Tengku (Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil).

Artikel Berkaitan:

"Jadi kami harus bekerja keras untuk berdepan mereka. Paling penting apa yang kami terapkan semasa beraksi ialah aura positif. Sentiasa berfikiran positif. Kami perlu memberikan prestasi 100 peratus," ujar Faizal.

Bagi pengendali UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi, beliau mampu menarik nafas lega kerana dapat menurunkan barisan terbaik selepas para pemainnya bebas daripada masalah kecederaan.

“Saya sedar tahap prestasi THT meningkat dalam tiga perlawanan lalu dan ini bermakna, mereka akan turun dengan kekuatan yang berbeza. Jadi memang peluang kedua-dua pasukan sama rata.

“Yang penting sekarang ialah prestasi konsisten UniKL dapat diteruskan. Saya yakin, dengan semangat berpasukan selain hubungan rapat antara pemain juga pengurusan menjadi kunci utama kepada kejayaan setakat ini,” katanya.

Kapten UniKL, Marhan Jalil menambah, hanya mentaliti kemenangan yang positif menjadi elemen utama dan motivasi terbaik buat mereka untuk melakar kejayaan.

“Selepas berjaya mengharungi separuh akhir, para pemain mendapat motivasi untuk berdepan aksi final. Saya bangga dengan kewibawaan yang ditunjukkan rakan-rakan apabila mempamerkan prestasi terbaik.

“Saya berharap, komitmen dan semangat yang dipamerkan semasa meraih kemenangan mengetasi TNB pada separuh akhir kedua pada Khamis lepas dapat dibawa ke final esok,” jelasnya.

Dua pasukan wanita - UniKL Ladies dan PKS Uniten-KPT pula bakal berentap dalam aksi final Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.