JPJ disaran tingkat mutu perkhidmatan kaunter

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam. - Foto Bernama
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyarankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau pada Jumaat, Ka Siong memaklumkan menerima pelbagai cadangan dan maklum balas daripada orang ramai dan antaranya adalah agar unit kenderaan bergerak JPJ ditambah bagi keselesaan pelanggan agensi tersebut.

“Antara cadangan lain adalah keperluan menambah kaunter mesin kiosk dan penggantian perabot terutamanya kerusi yang telah rosak serta khemah sementara untuk kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.

“Seorang pemegang taruh yang mewakili golongan korporat juga telah mencadangkan kepada saya agar dapat mewujudkan semula kaunter khas bagi urusan syarikat yang mempunyai transaksi yang banyak memandangkan pada ketika ini, wakil syarikat hanya dibenarkan memperbarui tiga Lesen Kenderaan Motor (LKM) sahaja pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau juga memaklumkan akan berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ untuk menambah kakitangan kerana sebahagian daripada pegawai JPJ telah dipinjamkan bertugas di Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan agensi itu.

Ka Siong mengadakan lawatan mengejut ke Pejabat JPJ Negeri Melaka di Bukit Katil hari ini bagi meninjau keadaan di lapangan terhadap urusan memperbaharui LKM & Lesen Memandu (LM) selepas pewartaan baharu yang berkuat kuasa mulai semalam (Khamis).

“Saya berpuas hati apabila mendapati bekalan disk atau stiker LKM mencukupi dan urusan pembaharuan kesemua jenis lesen ini berjalan dengan lancar di negeri ini.

“Walaupun hanya singgah selama kira-kira 35 minit, namun saya menggunakan kesempatan yang ada untuk berinteraksi dengan orang ramai dan juga pegawai-pegawai JPJ serta kakitangan di kaunter yang ditugaskan. Saya juga melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di sini dilaksanakan dengan baik,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Saya mengadakan lawatan mengejut ke Pejabat JPJ Negeri Melaka di Bukit Katil hari ini. Saya melihat pematuhan SOP bagi...

Posted by Wee Ka Siong on Thursday, April 1, 2021