Warga emas maut dipercayai dipanah petir

No Image Caption
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Seorang pekebun ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan luka di kepala dan rambut terbakar dipercayai terkena panahan petir di kebun di Jalan Maserah, Kampung Surau, Kuala Jengai di sini, petang Khamis.

Abd Wahab Talib, 63, ditemui oleh anak perempuannya, Nur Eliesya Bathrieysya Abd Wahab yang ketika itu disangkakan sedang tidur di bawah tempat berteduh yang ditutup atap zink, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, anak perempuannya memaklumkan yang mangsa keluar daripada rumah selepas Zohor dengan memaklumkan untuk ke kebun buah-buahan.

"Bagaimanapun pada jam 4 petang, anak perempuan mangsa berasa tidak sedap hati dan keluar mencarinya di lokasi, anaknya memanggil beberapa kali tetapi tidak menyahut dan telah mencari di kawasan kebun sebelum mendapati bapanya dalam keadaan tidur.

"Anak perempuannya bertindak mengejutkannya tetapi tidak bergerak dipercayai telah meninggal dunia di bawah tempat berteduh yang ditutup dengan atap zink," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati badan mangsa luka di bahagian kepala dan rambut terbakar seperti terkena panahan petir.

"Siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kebakaran dan tiada unsur jenayah.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat," katanya

Artikel Berkaitan: