Wan Rohaimi tekad pacu kebangkitan The Cops

Wan Rohaimi
Wan Rohaimi
A
A
A

PENGENDALI baharu PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berazam membantu skuad The Cops itu untuk kembali bangkit bagi mengharungi cabaran dalam saingan Liga Premier musim ini.

Wan Rohaimi berkata, dia yakin pengalaman selama 10 tahun sebagai jurulatih pembangunan dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan skuad Piala Presiden Pulau Pinang dapat membantu memulihkan prestasi pasukan bagi mencabar kejuaraan Liga Premier.

Justeru menurut pengendali berusia 45 tahun itu, banyak kerja yang perlu dilaksanakannya mulai sekarang dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan.

“Selepas lima perlawanan, saya dapati kedudukan PDRM FC tidak begitu baik, jadi memang banyak kerja yang perlu saya lakukan mulai sekarang.

“Bagaimanapun, saya telah berada dalam bidang kejurulatihan selama 10 tahun, jadi saya yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk membina pemain dari biasa-biasa kepada luar biasa dan juga pasukan biasa-biasa kepada luar biasa,” katanya.

Wan Rohaimi dilantik selaku pengendali PDRM FC menggantikan Mat Zan Mat Aris berkuatkuasa serta-merta berikutan prestasi hambar yang dipamerkan Cops setakat ini.

Justeru tugasan pertama Wan Rohaimi adalah untuk memastikan kemenangan ketika berdepan Terengganu FC II pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, Wan Rohaimi berkata, antara perkara yang perlu dilaksanakannya adalah menyusun semula pasukan berkenaan secara keseluruhannya termasuk dari segi pemikiran pemain.

Artikel Berkaitan:

“Memang banyak kerja perlu saya buat iaitu memperbetulkan pasukan dari titik A hingga Z serta menukar cara pemikiran pemain.

“Insya-ALLAH, di penghujung tahun, dengan sokongan padu pengurusan kita boleh tengok di mana pasukan PDRM FC akan berada,” katanya.

PDRM kini berada pada kedudukan kesembilan dalam carta Liga Premier selepas mengharungi lima perlawanan dengan hanya meraih tiga mata hasil satu kemenangan setakat ini.