'Pemilihan kepimpinan baharu UMNO Jun ini'

Annuar
Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan bahawa pemilihan kepimpinan UMNO yang baharu akan diadakan pada Jun depan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, Perlembagaan UMNO telah menetapkan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada tiga tahun sahaja.

Menurutnya, kali terakhir pemilihan pucuk kepimpinan UMNO berlangsung pada 30 Jun 2018 dan tempoh itu akan tamat pada Jun depan.

Justeru, ahli akar umbi UMNO berpeluang memutuskan bakal calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri daripada parti itu pada Jun nanti.

“Sebagai parti yang kuat berpegang kepada peraturan dan amat kuat bergantung kepada suara akar umbi, kita tidak teragak- agak menyerahkan semula kepada akar umbi untuk menentukan kepimpinan.

“Insya-ALLAH calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO akan diputuskan sekitar Jun ini menerusi pemilihan oleh ahli UMNO sendiri.

“UMNO akan memilih seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden yang mempunyai sifat dan kelayakan yang sesuai memikul tugas sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri bila tiba masanya,” katanya di Facebooknya pada Khamis.

Pada Februari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamdi memberi jaminan pemilihan parti itu akan tetap diadakan tahun ini namun beliau tidak menetapkan tarikh pemilihan parti akan berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa UMNO menyegerakan pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika ia mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun ini perlu diadakan segera sebelum PRU15.

Pemilihan awal akan membolehkan UMNO menghadapi PRU15 dengan barisan pemimpin yang memiliki ‘mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat’.

ARTIKEL BERKAITAN: KJ gesa segerakan pemilihan UMNO, selesai kemelut dalaman parti