Prebet Adam meninggal dunia

Adam Jaafar
Adam Jaafar
A
A
A

GEORGETOWN- [DIKEMAS KINI] Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang di sini pada pagi Selasa akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafasnya pada usia 57 tahun dan difahamkan jenazahnya dikebumikan di Datuk Keramat di sini, semalam (Selasa) dengan dihadiri ahli keluarganya.

Kematian Adam disahkan dua adiknya iaitu Anisah dan Arzat di laman Facebook masing-masing.

Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan ahli keluarga Allahyarham bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematiannya gagal selepas kesemua mereka tidak dapat dihubungi.

Adam pernah menggemparkan negara selepas mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987.

Dalam kejadian amuk itu, seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pada 2018, isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik 'individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri'.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada itu, adik perempuan Adam, Hawa Jaafar, 56, memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden amukan abangnya dan menyatakan abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.

Hawa turut menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai 'caddy' golf kepada Almarhum, yang mana ia menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara.

"Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan.

"Semua adik-beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah," katanya.