1 maut, 5 cedera kemalangan di LPT2

A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang maut manakala lima cedera termasuk dua kanak-kanak setelah Toyota Estima dinaiki mereka terbabas di KM 400.3 LPT2, Bukit Besi-Ajil, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa yang maut ialah penumpang hadapan iaitu Miss Jaruayporn, 33, yang merupakan pengusaha kedai makan warganegara Thailand.

Manakala mangsa yang cedera, pemandu kenderaan iaitu Seman Che Lah,41 (suami Miss Jaruayporn); Husna Che Leh,23; Siti Aishah Che Hassan (umur tidak diketahui) dan anaknya, Siti Sarah, 1 tahun lebih serta Puteri Asyah Seman, 4 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati pemandu bersama keluarganya dari Batu Berendam, Melaka dalam perjalanan hendak menghala ke Batu Burok.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi pembahagi tengah jalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemandu bersama dua penumpang dihantar ke Hospital Dungun.

"Dua orang lagi penumpang belakang dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT). Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik HHT untuk tindakan selanjutnya dan punca kematian masih dalam siasatan," katanya.

Tambah Mohd Adli, kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya juga masih mendapatkan maklumat lengkap mengenai butiran peribadi kesemua yang terlibat.

Artikel Berkaitan: