X

Kindly register in order to view this article
!

'Kalau ada madu di pucuk kelapa, semut tempang pun merangkak naik'

Mohamad Hasan
A
A

[MUKADIMAH] Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) membuka tirai pada Sabtu dengan agenda untuk memuktamadkan hala tuju terbaik parti itu menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan selain memenangi PRU15 bersama parti-parti komponen, UMNO sendiri perlu menang sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen jika mahu kembali menjadi parti dominan di Malaysia.

“Apabila cukup kerusi untuk jadi dominan, orang akan datang jumpa kita. Kalau ada madu di pucuk kelapa, semut tempang pun merangkak naik,” katanya memberi gambaran mengapa UMNO perlu menjadi ‘induk’ politik tanah air.

Kepada Sinar Ahad, Mohamad turut menjawab tuduhan UMNO sebagai pemecah penyatuan ummah selain pemilihan UMNO yang dijadualkan berlangsung Ogos depan sebaik darurat Covid-19 tamat.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Mohamad yang dikendalikan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin, Liza Mokhtar, Rosalwani Che Soh dan Mukhriz Mat Husin di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu.

SINAR AHAD: Dalam ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini (semalam), Datuk Seri ada menyentuh mengenai jangan ajar UMNO tentang perpaduan ummah. Boleh Datuk Seri ulas lebih lanjut?

MOHAMAD: Perpaduan Melayu ini UMNO yang mulakan dahulu. Kita buat penyatuan ummah, kita hulur tangan kepada Pas. Lupakanlah (perkara) silam dan kita bersama-sama atas asas agar kepentingan orang Melayu dan Islam dapat kita pulihkan. Kita (UMNO dan Pas) berpecah 60 lebih tahun. Bayangkan, sembahyang dua imam, sembelihan tidak boleh makan, cerai isteri (kerana parti) dan macam-macam lagi.

Ini amat mengecewakan sekali tetapi alhamdulillah bila dibuat penyatuan ummah maka masyarakat luar bandar amat selesa sekali. Itu sebab bila orang kata perpecahan sekarang amat meruncing, saya tidak nampak meruncing dari segi mana. Bahkan kepada saya, ia bertambah baik selepas PRU14.

Cumanya, orang melihat bila kita tidak mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dia kata memecah belah ummah. Bukan begitu, sebaliknya UMNO ini merupakan tonggak dalam menyatukan orang Melayu. Itu yang saya kata, jangan ajar kita.

Jangan ajar kita bagaimana untuk menyatupadukan orang Melayu. UMNO sejak sebelum (zaman) merdeka telah menyatukan orang Melayu. Dulu ada 30, 40 pertubuhan Melayu yang kita cantumkan menjadi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Kita menyatukan orang Melayu dan bangsa lain turut menyokong kita.

UMNO sekarang dikatakan ada banyak kem. Ada kumpulan yang mahu UMNO bergerak sendiri, ada yang cenderung dengan Bersatu dan ada yang inginkan penjajaran semula politik. Apa komen Datuk Seri?

Yang betulnya, UMNO mengamalkan sistem demokrasi, kita mengetengahkan suara terbanyak. Apa saja yang diputuskan oleh suara terbanyak, itulah keputusannya. Macam-macam pandangan sebelum PAU tapi lepas PAU saya harap keputusan dah dibuat oleh parti, masing-masing perlu akur. Akur kepada keputusan parti. Demokrasi ini kita mendengar suara majoriti. Kalau suara majoriti mengatakan A, A-lah. Kalau suara majoriti mengatakan B, maka B. Saya harap pemimpin di peringkat mana pun, hormati dan akur keputusan parti.

Ada yang mengatakan senario pimpinan utama UMNO tidak diberikan jawatan dalam kerajaan sebagai punca wujudnya banyak kem dalam UMNO. Apa pandangan Datuk Seri?

Susah sedikit saya hendak bersetuju. Sebab kita berjuang dalam parti ini bukan untuk jawatan. Kalau perjuangan kita berasaskan jawatan, itu silap. Kita berjuang atas dasar perjuangan. Jawatan ini kesamping. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada, tidak apa. Tapi bukan kerana tidak ada jawatan, kita kecewa.

Jadi ini cuma tanggapan orang yang cuba mengadu domba, mengeluarkan pandangan-pandangan. Sekarang ini ramai profesor politik, entah mana datang pun saya tidak tahu. Saya cadangkan supaya mereka masuk (politik). Dekat cawangan kalau mereka boleh bertahan pun okey. Pergilah masuk politik, jangan cakap yang bukan-bukan. Sudahnya pandangan mereka menjadi asas kepada adu domba. Dan ada pula orang terpesona dengan analisis-analisis tersebut. ‘Oh, yang bercakap ini profesor’ jadi mereka percaya. Profesor ekonomi kalau berniaga belum tentu untung.

Mohamad Hasan menegaskan selain memenangi PRU15 bersama parti-parti komponen, UMNO sendiri perlu menang sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen jika mahu kembali menjadi parti dominan di Malaysia.
Mohamad Hasan menegaskan selain memenangi PRU15 bersama parti-parti komponen, UMNO sendiri perlu menang sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen jika mahu kembali menjadi parti dominan di Malaysia.

Pemimpin seperti Datuk Seri sendiri dan Datuk Dr Asyraf Wajdi dianggap mampu menjadikan wajah UMNO lebih segar. Bagaimana Datuk Seri melihat keperluan wajah-wajah baru dalam parti menjelang PRU15?

Insya-ALLAH mereka sendiri sudah berada dalam parti arus perdana. Saya Timbalan Presiden. Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki jadi Ketua Pemuda UMNO. Ketua Pemuda ini dia tarafnya sama dengan Naib Presiden. Jadi isunya bukanlah untuk mengetengahkan individu tetapi mereka mesti mencemerlangkan parti. Yang nak menang ini parti, bukan individu. Yang nak bertanding, kita wakil parti ini saja, yang nak tubuhkan kerajaan adalah parti.

Kalau parti cukup bilangan kerusi, boleh tubuh kerajaan. Tapi kalau setakat hero-hero ini menang, orang lain tak menang tak boleh juga. Kita mesti mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Pemimpin terpalit kes mahkamah dikatakan punca UMNO tidak bergerak ke hadapan. Apa komen Datuk Seri?

Kita mengamalkan dasar Rule of Law. Jadi seseorang itu masih lagi tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Banyak orang yang dituduh, semuanya dilepaskan. (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli dituduh, lepas, (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dituduh pun lepas.

Jadi baik kita amalkan amalan demokrasi yang baik dan sistem perundangan yang luhur. Saya yakin kalau ada yang dituduh dan mereka didapati bersalah di mahkamah, parti akan mengambil tindakan sewajarnya. Individu terbabit, tuan punya badan pun saya rasa akan berjiwa besar untuk ambil apa saja keputusan demi kebaikan parti.

Jangan kita tuduh macam-macam selagi mahkamah belum menjatuhkan hukum. Esok bila dia dijatuhkan hukum, maka parti pula akan buat apa saja cara terbaik untuk membela dan membina parti dengan lebih baik.

Datuk Seri ada memberitahu UMNO akan bertanding 80 kerusi Parlimen. Tetapi dengan angka itu, UMNO masih tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Adakah itu isyarat UMNO bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PH?

Bukan UMNO hendak tanding 80 kerusi (Parlimen), itu silap (penjelasan). Kita hendak tawan 70 hingga 80 kerusi (Parlimen). Kalau lebih 100 kerusi, lebih baik. Lagipun UMNO ini bukan kerajaan yang hendak bergerak sendiri. Kita ada 14 parti dalam BN dan UMNO tidak pernah bersendirian. Cuma kita hendak UMNO menjadi parti dominan yang mendapat 80 hingga 85 kerusi (Parlimen). Apa pun kita perlu menang dalam pilihan raya dan jika kita menang, ibarat ‘ada madu di pucuk kelapa, semut tempang pun pasti datang pada madu tersebut’. Begitulah juga kita perlu kuat seperti gajah. Kalau kita kuat, maka tunjukkan yang kita dominan.

Bagaimana Datuk Seri melihat pendirian Pas sama ada ia mahu terus bersama MN atau beralih kepada PN pada PRU15 nanti?

Saya mempunyai harapan Pas akan terus bersama kita. Sebab bila Pas bersama UMNO, walaupun kita tiada dalam kerajaan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, tetapi UMNO dan Pas kuat, Muafakat Nasional (MN) kuat.

Manfaat bersama UMNO adalah besar. Kita menang pilihan raya kecil (PRK) walaupun kita pembangkang, menang bergaya di (PRK) Tanjung Piai, menang di Kimanis, menang semuanya. Ramai orang kata UMNO, BN akan lemah tanpa Perikatan Nasional (PN), sebenarnya tidak lemah. Kalau lemah, takkan kita boleh menang banyak kerusi pilihan raya kecil. Itu pandangan saya.

Jika Pas memilih Bersatu, kemungkinan akan berlaku pertembungan tiga penjuru. Apakah impaknya kepada UMNO?

Apa sahaja yang kita buat dalam politik ini, ada impak. Tetapi kita tidak perlu terburu-buru. Yang penting, keuntungannya itu mesti ada. Setiap apa saja yang kita buat, ia mesti menguntungkan kita. Meniaga jangan rugi cukuplah. Tidak untung banyak pun tak apa, tapi jangan rugi.

Bagaimana perkembangan pembahagian kerusi PRU15 dengan Pas?

Perbincangan masih berjalan, tetapi kita sudah kunci. Fasa pertama (perbincangan), siapa yang menang kerusi masing-masing pada PRU14, kerusi itu akan kekal milik mereka. UMNO 55 kerusi (Parlimen), Pas 18 (kerusi Parlimen).

Fasa kedua, siapa yang dapat undi kedua terbanyak pada PRU14, itu kita boleh pertimbangkan. Jadi, apa yang saya buat berdasarkan formula tersendiri. Ada peringkat pertama, peringkat kedua. Peringkat kedua masih lagi di peringkat persetujuan. Lepas itu, ada peringkat ketiga, keempat dan kelima. Ada banyak kerusi, apa hendak risau.

Adakah perbincangan dengan Pas turut membabitkan kerusi di Terengganu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini?

Kita bincang dan akan cuba mendapatkan persetujuan tertentu. Kita jangan rugi. Berunding kena masing-masing untung. Kalau sudah berunding, tidak juga dapat (penyelesaian), maka kita kena cari jalan lain. Kita tidak boleh pakai (penyelesaian) apa yang dipanggil one size fit all.

Ini teori lama. Kena tengok kalau di Johor, bagaimana situasinya. Tetapi di peringkat pusat, kalau kita membuat pertukaran kerusi, (apa salahnya). Pas tidak kuat di pantai barat. Kalau mereka hendak tukar di pantai barat, kita bolehlah ajak tukar dua atau tiga kerusi dengan UMNO di Terengganu.Saya rasa Terengganu boleh (runding). Tetapi, kalau sudah tidak boleh bersetuju, friendly fire (bertembung sesama sendirilah). Di Kelantan, Terengganu dan sedikit di Kedah, negeri-negeri ini telah mengamalkan sistem dua parti.

Sistem ini tidak mencederakan sesiapa. Sebab itu di Terengganu ia diibaratkan swing state... umpama ditandingi parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat. Kalau pengundi sudah bosan dengan Republikan, mereka pilih pula Demokrat. Jadi, (di negeri-negeri itu) bukan isu kerana tiada siapa yang rugi. Kerana di Terengganu, Kelantan 95 peratus pengundi adalah orang Melayu. Majoriti di Kedah pun begitu. Kita kena gunakan formula yang bersesuaian dengan kawasan atau negeri tertentu.

Ada pandangan akar umbi yang merasakan perlu diadakan pemilihan UMNO sebelum PRU15 untuk merapatkan kembali saf parti. Apa yang boleh Datuk Seri kongsikan?

Presiden sudah mengeluarkan kenyataan melalui Setiausaha Agung bahawa pemilihan parti akan diadakan dalam tahun ini. Kita tengok bagaimana. Selepas tempoh darurat tamat, kita buatlah. Itu pun kalau keadaan Covid-19 telah pun reda dan dapat dikawal. Ini kerana ada dua perkara iaitu membabitkan proklamasi darurat dan pandemik Covid-19. Kita dalam musim pemilihan, tidak boleh buat kaedah kedatangan macam PAU2020 ini (terhad). Nanti ahli akan bawa parti ke mahkamah.

Saya selaku Pengerusi Pengurusan (pemilihan parti), saya perlu berhati-hati. Niat hendak buat (pemilihan), betul. Dalam perlembagaan parti, pemilihan perlu dibuat kerana penggal pengurusan kita tamat pada tahun 2020. Tetapi, bentuk bagaimana kita hendak buat (pemilihan)? Prosesnya mesti betul. Jika tidak, UMNO nanti yang susah.

Kalau PRU tidak ada dalam tahun ini, kita akan adakan pemilihan. Kita sedang meneliti apa akan jadi selepas tempoh darurat tamat. Pada bulan Ogos, kita sudah merancang untuk mengadakan pemilihan di peringkat cawangan. Selepas dua bulan, kita juga akan buat pemilihan di peringkat bahagian dan pusat, serentak di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini sudah menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP. Namun, desas-desus masih kuat mengenai adanya pertemuan antara pemimpin PKR dan DAP dengan pemimpin UMNO. Apakah senarionya?

Presiden sudah cakap macam itu, okeylah. Tetapi macam saya katakan tadi, UMNO ini sebuah parti. Tiada siapa, figura atau kelompok kumpulan yang boleh memaksa UMNO untuk mengubah dasar parti. Tiada siapa yang boleh memaksa UMNO melainkan keputusan yang diputuskan di peringkat akar umbi. Parti yang memutuskan. Itu caranya.

ANEKDOT

Harapan terhadap PAU 2020

Saya anggap perbincangan dalam PAU adalah (perbincangan) biasa seperti tahun-tahun sebelum ini. Kita bincang elok-elok dan kita sepakat elok-elok. Harapan saya lebih besar adalah kita menang PRU. PAU 10 kali setahun pun, kalau kalah pilihan raya, buat apa? Pengakhir cerita, UMNO mesti menang pilihan raya kalau mahu jadi induk politik. UMNO mesti menjadi induk, parti teras. Induk ayam, jaga anak-anak. 11 ekor anak ayam, induk jaga semua elok-elok. Walaupun anak ayam ciri lain-lain. Kalau anak ayam yang hilang, itu dimakan dek helanglah.

Kita tidak boleh berkompromi, UMNO jadi second fiddle, UMNO jadi penyokong sahaja... itu tidak boleh. Itu yang saya hairan. Ada anak ayam yang sanggup berindukkan orang lain, apa hal?

Siapa calon Perdana Menteri?

Belum sampai lagi (perbincangan antara UMNO dengan Pas) mengenai siapa hendak jadi poster boy atau Perdana Menteri, saya rasa pilihan raya lambat lagi. Cepat sangat putuskan siapa poster boy, takut nanti gambar pun akan runtuh awal (ketawa). Bagaimanapun, kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU kena ada. Sebab itu, saya sudah turun ke negeri-negeri. Saya hendak dengar suara daripada pemimpin negeri sendiri.

Saya tidak mahu dengar daripada mulut pihak ketiga. Contohnya, ada pihak ketiga kata begitu dan begini kepada (Pengerusi UMNO Terengganu) Datuk Seri Ahmad Said. Saya hendak dengar sendiri kata-kata daripada Mat Said dan rakan-rakan di Terengganu.

Wawancara Sinar Ahad bersama Mohamad yang dikendalikan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin, Liza Mokhtar, Rosalwani Che Soh dan Mukhriz Mat Husin di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Wawancara Sinar Ahad bersama Mohamad yang dikendalikan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin, Liza Mokhtar, Rosalwani Che Soh dan Mukhriz Mat Husin di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!