X

Kindly register in order to view this article
!

Kepelbagaian satu kelebihan buat Malaysia: Nazir Razak

Gambar hiasan 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kepelbagaian merupakan satu kelebihan istimewa Malaysia dan ini bermakna rakyat boleh menikmati paling banyak manfaat, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB, Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, rakyat boleh mendapat manfaat berkenaan sekiranya mereka dapat memastikan bahawa kepelbagaian tersebut boleh berfungsi untuk kebaikan dan sekiranya masyarakat lebih inklusif serta boleh bekerjasama merentasi sempadan identiti.

"Sewaktu saya menerajui Kumpulan CIMB, saya telah berusaha keras untuk menyerapkan kepelbagaian dan memupuk tenaga kerja yang inklusif.

"Dari segi bangsa, kumpulan umur, jantina mahupun agama, saya kerap campur tangan untuk memastikan kepelbagaian dapat berfungsi secara baik.

"Saya selalu mengingatkan kakitangan bahawa integrasi bermakna kami harus menentang apa yang datang secara semula jadi serta menepis naluri suku kita atau 'our tribal instincts' yang menyukai apa yang serupa dengan dan biasa untuk kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Bangsa Malaysia 2021 secara maya anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada Sabtu.

Pada perasmian itu, beliau turut melancarkan buku bertajuk 'Kosmopolitan Islam & Pembinaan Bangsa Malaysia' karya Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Sementara itu, Mohamed Nazir turut memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu: “Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sama-sama mengingati bahawa perpaduan merupakan kekuatan asas kita sebagai satu rakyat dan satu negara".

Menurut Mohamed Nazir, Bapa Kemerdekaan Malaysia itu melihat bangsa Malaysia sebagai masa depan negara yang baharu dan satu hala tuju untuk maju ke hadapan.

"Mereka sedar, ia bukan sesuatu yang mudah. Apabila kita tersilap langkah seperti di tahun 1969, mereka telah memperkenalkan pembaharuan dan dasar baharu. Namun mereka tidak pernah menyimpang dari agenda yang asal," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!