Tertipu tawaran Toyota Hilux murah

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang peniaga untuk membeli kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pada harga murah melalui media sosial membawa padah apabila mendakwa kerugian RM21,280 selepas ditipu penjual tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun mendakwa berminat untuk membeli kenderaan itu selepas melihat satu paparan mengenai tender kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daripada akuan Facebook dikenali Farhana pada 5 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa mendakwa menghantar pesanan ke aplikasi WhatsApp pemilik Facebook terbabit sebelum diminta berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya pegawai JPJ dikenali dengan nama Azhar.

"Mangsa kemudian telah menghantar satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kepada suspek dan mengatakan hasratnya untuk membeli Toyota Hilux itu.

"Setelah berbincang, mangsa bersetuju dengan tawaran berharga RM21,280 dan diminta untuk membuat pembayaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir berkata, pada 7 dan 8 Mac lalu, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak tiga kali membabitkan jumlah keseluruhan RM21,280 dalam akuan yang diberikan suspek.

Katanya, selepas selesai pembayaran, suspek meminta mangsa menunggu e-mel daripada pihak JPJ bagi tujuan pengesahan resit pembayaran dan pembelian kenderaan terbabit.

"Bagaimanapun dalam tempoh 10 hari, mangsa tidak menerima kiriman e-mel itu dan suspek juga gagal dihubungi.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Jumaat selepas tersedar ditipu," katanya.

Katanya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.