Keputusan SPR tangguh Undi 18 agak mengecewakan: Mas Ermieyati

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
A
A
A

MELAKA - Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 tahun akan mengecewakan banyak pihak.

Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini kerana ia telah melalui satu proses yang panjang dalam meluluskan undi 18 di Parlimen dan bukan sahaja melibatkan pimpinan politik namun mengambil kira semua aspek melibatkan anak muda dan pemegang taruh yang berkaitan.

Menurutnya, laluan kepada pemimpin muda perlu dibuka seluasnya dan penyertaan anak muda seawal 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya umum (PRU) adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara.

Malah katanya, sokongan anak muda semakin menonjol terhadap pemerintahan Perikatan Nasional hasil daripada usaha dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani permasalahan dan cabaran mutakhir ini.

"Sebagai ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, kita perlu berani berhadapan dengan semua peringkat umur dalam mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi.

"Sekiranya diberi peluang, saya yakin dan percaya mereka boleh memilih secara rasional dan inilah masanya untuk mereka menyuarakan dan memperjuangkan isu yang membelenggu kumpulan ini supaya isu mereka ini tidak dipandang enteng," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka terus membuka mata dan cakna mengenai isu-isu di sekeliling seterusnya mematangkan mereka.

"Saya juga ingin melihat lebih ramai calon-calon muda dalam kalangan wanita diketengahkan untuk PRU akan datang supaya hak dan isu-isu berkaitan kumpulan ini juga dapat diketengahkan sekali gus mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Mas Ermieyati berkata, walaupun keputusan itu mengejutkan namun beliau yakin SPR telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan perkara tersebut.

"Atas sebab-sebab sangat tidak dijangka di mana negara dilanda krisis kesihatan awam, pandemik Covid-19 yang membawa kepada pengisytiharan darurat kesihatan telah sedikit sebanyak menggangu perancangan asal pihak SPR," katanya.