Katil berdiri rawatan fisioterapi raih anugerah

Dr Adham (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Inovasi 2020 kepada Pengarah Hospital Tengku Anis Pasir Puteh Kelantan, Dr Nor Hizulmy Noor Muhammad (tiga, kanan) hari ini. Foto Bernama
Dr Adham (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perdana Inovasi 2020 kepada Pengarah Hospital Tengku Anis Pasir Puteh Kelantan, Dr Nor Hizulmy Noor Muhammad (tiga, kanan) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasil inovasi Hospital Tengku Anis, Kelantan melalui ‘Standing Bed for Physiotherapy Exercise’ bagi memudah cara pemulihan perubatan fisioterapi bagi kanak-kanak istimewa merangkul Anugerah Perdana Inovasi Kementerian Kesihatan (KKM) 2020.

Katil inovasi itu direka untuk menyokong pesakit kanak-kanak penghidap palsi serebral, spina bifida dan sindrom down yang memerlukan rawatan fisioterapi bagi melatih mereka untuk berdiri.

Pegawai Pemulihan Perubatan Fisioterapi Hospital Tengku Anis, Norfatanah Abdullah Sani berkata, inisiatif menghasilkan inovasi itu bermula pada 2015 setelah melihat pelbagai kekangan dan ketidakselesaan kepada pesakit yang menerima rawatan fisioterapi menggunakan bola gim sebelum ini.

“Setelah berbincang dengan empat anggota lain dalam pasukan kami, standing bed (katil berdiri) ini terhasil dan ia lebih mudah, rawatan dapat dilakukan dengan sistematik dan selamat. Masa rawatan dan tenaga juga dapat dijimatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan inovasi tersebut yang diadakan sempena sambutan Hari Inovasi KKM bertemakan ‘Budaya Inovasi Pemangkin Kecemerlangan’, di sini pada Jumaat.

Menurut Norfatanah, setakat ini, 20 pembeli telah menggunakan kemudahan katil itu yang dijual pada harga kira-kira RM5,000 seunit dan pihaknya turut menerima maklum balas positif daripada pengguna.

Beliau berkata, jerayawara akan dijalankan selepas ini bagi memperkenalkan produk inovasi itu kepada semua fasiliti kesihatan.

Pada majlis itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut menyampaikan anugerah kepada pemenang Anugerah Inovasi 2020 kategori produk, perkhidmatan, proses dan teknologi dan Anugerah Khas Inovasi 2020.

Antara penerima anugerah ialah aplikasi MySejahtera yang dibangunkan pasukan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan Specimen Management Information System (SMIS) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan.

Artikel Berkaitan:

Turut dilancarkan produk komersial ‘Hospital Smart Bed’, hasil inovasi Shamsul Kamal Mohamad Khair dari Hospital Selama, Perak bertujuan mewujudkan norma baharu budaya prosedur kerja pengimejan diagnostik kes trauma dan kronik dengan mengutamakan 3K iaitu keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pesakit.

Terdahulu, Dr Adham ketika berucap pada majlis itu berkata, KKM juga bekerjasama dengan beberapa agensi penyelidikan dan khidmat teknikal bagi menghasilkan inovasi peralatan terbaharu menerusi ‘Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan’.

Menerusi kolaborasi itu, tiga inovasi telah dihasilkan iaitu prototaip peranti perubatan ventilator menggunakan teknologi 3D, prototaip ‘Splitter Kit’ ventilator dan Unit Rawatan Rapi Hibrid di lapangan (FHyICU), katanya.

Dr Adham berkata, sebagai pengiktirafan dalam bidang inovasi, Malaysia kini berada di tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2020 berbanding tangga ke-35 pada 2019 daripada 133 negara.

Di peringkat Asia Pasifik pula, Malaysia berada pada kedudukan kelapan dalam indeks yang dikeluarkan INSEAD, Pertubuhan Hartanah Intelek Dunia (WIPO) yang juga agensi khusus Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Cornell University.

Katanya, beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah dicalonkan sebagai ‘Executive Board’ untuk mewakili Western Pacific Region Office dalam Persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021.

“Ini juga satu pengiktirafan dunia kepada KKM di atas sumbangan dan kejayaan kita dalam pelbagai bidang seperti pengurusan pandemik Covid-19, Inovasi Kesihatan Digital, kesihatan mental dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.

KKM juga menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 dan Anugerah Inovasi Antarabangsa Covid-19 Edisi Khas Malaysia Technology Expo 2020. - Bernama