365 hari menerajui KPDNHEP

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

TEMPOH setahun menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merupakan perjalanan yang terasa panjang dan sangat mencabar buat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sebaik sahaja diberikan amanah untuk mengetuai kementerian itu, beliau terus diuji dengan cabaran tidak terduga yang melanda bukan sahaja negara, malah seluruh dunia iaitu pandemik Covid-19.

Namun begitu, selepas 365 hari melaluinya, Alexander mengakui beliau dengan kerjasama erat pasukannya berjaya bertahan dan mengharungi semua ujian dengan sebaiknya.

Ikuti temu bual media secara maya bersama beliau sempena ulang tahun pertama pentadbirannya di KPDNHEP.

SINAR HARIAN: Sepanjang setahun Datuk Seri menerajui KPDNHEP, boleh kongsikan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam tempoh tersebut?

ALEXANDER: Saya bersyukur kerana diberi peluang menyertai Kabinet dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas penting di kementerian ini.

Tahun pertama menerajui KPDNHEP memang sangat mencabar apabila Covid-19 melanda dan kita terpaksa menghadapinya dalam keadaan tidak bersedia.

Saya terkejut dengan situasi berlaku kerana kita tidak mempunyai pengalaman. Pada masa sama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu, ujian terbesar KPDNHEP adalah untuk menangani situasi panik dalam kalangan rakyat khususnya membabitkan pembelian panik yang berlaku di beberapa lokasi dalam negara.

Rakyat yang salah sangka kerana menyamakan PKP dengan perintah berkurung menyerbu pasar raya untuk mendapatkan barangan dan menyimpan stok keperluan asas. Mereka juga membeli produk sanitasi tangan serta pelitup muka yang sangat diperlukan pada masa tersebut.

Tidak cukup dengan itu, isu berkaitan stok dan harga pelitup muka di pasaran juga banyak menguji kami.

Ada peniaga yang sorok stok bekalan pelitup muka kerana permintaan sangat tinggi dan mengambil kesempatan untuk kaut untung dengan menjualnya pada harga yang tidak munasabah.

Justeru, KPDNHEP menjalankan siasatan dan kita menaikkan harga siling pelitup muka dari 80 sen ke RM2 sebelum menurunkannya pada harga RM1.50.

Tindakan itu mendapat kritikan hebat dan dikatakan tidak prihatin atau tidak sensitif terhadap pengguna.

Langkah itu sebenarnya bertujuan menghalang eksport supaya pengilang memberi keutamaan kepada bekalan dalam negeri untuk rakyat Malaysia.

Malah dengan strategi itu kita berjaya meredakan keadaan. Walaupun dikritik, kami gembira kerana matlamat untuk memastikan ketersediaan pelitup muka ke dalam pasaran telah tercapai.

-Berbanding PKP pertama, pengguna lebih cemas terutama dalam aspek pembelian barangan keperluan asas tetapi ia berbeza pada PKP 2.0. Apakah ini disebabkan peranan KPDNHEP dalam memupuk kesedaran dalam kalangan pengguna?

Betul, saya akui situasi pengguna amat berbeza pada PKP pertama dan PKP 2.0.

Kesedaran pengguna sendiri yang kini lebih bijak dalam mengatur perbelanjaan dan menguruskan pembelian mereka adalah hasil daripada advokasi berterusan oleh Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP menerusi media arus perdana serta media sosial.

Ia diikuti dengan pembuktian kerja keras barisan hadapan pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang tidak kenal penat untuk menjamin bekalan dan harga barangan stabil, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Malah kementerian membuka pelbagai saluran untuk rakyat mengemukakan cadangan serta aduan menerusi telefon, WhatsApp dan aplikasi lain.

Dari situ kita menerima banyak aduan dan teguran termasuk syor yang kemudiannya kita gunakan dan terjemahkan ke dalam pelan tindakan kami.

Sebab itu penguatkuasaan KPDNHEP sangat berkesan.

-Setahun bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), apakah yang boleh dikongsikan mengenai prestasi PN ketika ini selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan semasa penularan wabak Covid-19?

Saya sangat berbangga dapat bersama PN dalam kerajaan dan Kabinet. Sebaik kerajaan PN dibentuk, kita dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19.

Tumpuan kerajaan yang diketuai Muhyiddin pada masa itu adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan negara serta rakyat terjamin.

Setelah itu, tumpuan diberi sepenuhnya kepada soal pemulihan ekonomi negara dan rakyat.

Malah, semua menteri Kabinet setiap hari bermesyuarat dari jam 9 pagi hingga ke 12 tengah hari atau lebih lama lagi untuk membincangkan pelbagai perkara sebelum keputusan yang dicapai dimaklumkan kepada rakyat.

Setiap perkara dibincangkan secara terperinci dengan mengutamakan kebajikan rakyat dan negara.

-Apakah bentuk pemeriksaan yang dilakukan penguat kuasa KPDNHEP sepanjang tempoh PKP dan apakah hasilnya?

Penguat kuasa KPDNHEP merupakan barisan hadapan ekonomi domestik negara. Mereka melaksanakan pemeriksaan rutin terhadap bekalan barangan keperluan setiap hari.

Dengan bantuan pegawai pemantau harga, mereka berganding bahu memeriksa harga barangan dan memastikan tiada elemen pencatutan dilakukan peniaga.

Berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima, pasukan ini akan memeriksa premis dan kawasan tertentu bagi memastikan aduan itu benar dan perlunya tindakan dari segi nasihat, amaran atau kompaun.

Dengan data dan fakta yang kita ada, setakat ini lebih ribuan siasatan dan pemeriksaan telah kita lakukan di premis-premis di bawah KPDNHEP seperti premis borong dan runcit.

Pemeriksaan ketiga adalah pematuhan SOP sektor peruncitan dan pengedaran oleh semua premis perniagaan. Malah berdasarkan statistik, kita berjaya mencapai 98 peratus pematuhan SOP.

-Bagaimana dengan bekalan makanan, apakah KPDNHEP pasti ia mencukupi?

Di peringkat kerajaan, kita mempunyai dasar sekuriti makanan negara. Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perbincangan akan dibuat untuk memastikan setiap kementerian menjalankan fungsi masing-masing.

KPDNHEP pula bertanggungjawab memantau dalam aspek rantaian bekalan seperti harga bawang tidak naik, berjumpa dengan pengimport dan sebagainya.

Selain itu, kita juga adakan pertemuan dengan pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan, peladang ayam dan telur serta bersinergi dengan MAFI untuk bekalan ikan. Semuanya dilakukan bagi memastikan bekalan makanan tidak terganggu.

Bagi musim perayaan juga kita sudah bersedia untuk memastikan barangan keperluan makanan sentiasa ada.

Kita mempunyai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk membuat pemantauan dan menangani masalah yang timbul terutama dari segi harga.

-Bagaimanakah kementerian memainkan peranan dalam membantu usaha memulihkan ekonomi negara?

Banyak. Pertama kita bangunkan SOP sektor peruncitan dan pengedaran bagi memastikan semua premis perniagaan boleh dibuka dan beroperasi semula.

Kedua, KPDNHEP melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia semasa PKP Pemulihan bagi menggalakkan rakyat keluar berbelanja. Ia bagi memastikan duit berlegar supaya ekonomi berkembang dan pekerjaan dapat diselamatkan.

Tugas KPDNHEP bukan sahaja untuk melindungi pengguna tetapi juga menjaga kepentingan komuniti peniaga.

Di samping itu, agensi di bawah kementerian selain Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti MyCC dan MyIPO turut membantu menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Kita amat menyokong tadbir urus universal, antikartel serta antimonopoli dan sering melakukan penambahbaikan berhubung proses menjalankan perniagaan di negara kita.