Bandar e-Sukan bakal diwujudkan di Selangor

Mohd Khairuddin (empat dari kiri) membuat gimik pelancaran Selangor Xtiv Virtual 2021 yang berlangsung di Foyer Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, pada Selasa.
Mohd Khairuddin (empat dari kiri) membuat gimik pelancaran Selangor Xtiv Virtual 2021 yang berlangsung di Foyer Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, pada Selasa.
A
A
A

KERAJAAN Selangor bakal mewujudkan Bandar e-Sukan di negeri ini menerusi pembinaan sebuah pusat pembangunan dengan kos pembinaan sekitar RM3 juta.

Exco Pembangunan Generasi Belia, Sukan dan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kemudahan itu bakal diwujudkan di tapak bekas sebuah hotel sekitar Seksyen 13 dan turut menjadi pusat pembangunan e-sukan pertama di negara ini.

Beliau berkata, buat masa ini, kerja-kerja ubah suai pusat berkenaan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh antara lima hingga enam bulan.

"Projek pembangunan itu melibatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Persatuan E-Sports Selangor (ESS), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Penubuhan pusat pembangunan berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan e-sukan sebagai sukan teras," katanya selepas pelancaran Selangor Xtiv Virtual 2021 dan Kerjasama Pembangunan e-Sport yang berlangsung di Foyer Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, inisiatif itu juga bertujuan memastikan potensi e-sukan dikembangkan secara optimum dan menjadi platform terbaik rakyat negeri ini menunjukkan bakat ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, program pembangunan e-sukan akan turut akan dilaksanakan dengan melibatkan persatuan sukan itu di setiap daerah di negeri ini.

"Ia antaranya program mencungkil bakat seperti 'telecaster' (penyiar) dan coach (jurulatih) dalam kalangan peserta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mohd Khairuddin berkata, program Selangor Xtiv Virtual 2021 akan diteruskan bermula bulan ini sehingga Disember depan dengan sasaran 450,000 penyertaan bersama hadiah terkumpul berjumlah RM411,680.

"Sasaran ini realistik memandangkan sambutan hangat diterima semasa penganjuran Selangor Xtiv Virtual tahun lalu yang menerima 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial," katanya.