Gambar Exco Pemuda UMNO disalah guna

Posting yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook pada Sabtu. Gambar kanan: Gambar Muhammad Faiz bersama isteri yang tular kerana didakwa melakukan penipuan.
Posting yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook pada Sabtu. Gambar kanan: Gambar Muhammad Faiz bersama isteri yang tular kerana didakwa melakukan penipuan.
A
A
A

KUANTAN - Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim kesal apabila gambar beliau bersama isterinya digunakan pihak yang tidak dikenali untuk tujuan penipuan.

Muhammad Faiz berkata, perkara itu diketahui beliau dua hari lalu selepas menerima kiriman gambar tangkap layar yang dihantar kawannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, individu yang menggunakan gambarnya itu telah melakukan aktiviti penipuan dalam urusan pembelian alat ganti kenderaan, malah ada antara mangsa sudah membuat pembayaran.

Berikutan itu, katanya, gambar beliau dan isterinya itu menjadi tular kononnya terlibat kegiatan penipuan.

Muhammad Faiz (kanan) dan isteri tampil membuat laporan polis di IPD Kuantan pada malam Sabtu.
Muhammad Faiz (kanan) dan isteri tampil membuat laporan polis di IPD Kuantan pada malam Sabtu.

"Saya kesal dengan tindakan individu yang menggunakan gambar saya untuk tujuan penipuan, sedangkan saya tidak terlibat langsung dalam urusan jual beli tersebut

"Mangsa yang ditipu juga sepatutnya membuat laporan polis dan biar polis menjalankan

siasatan. Bukannya mengambil tindakan sendiri dengan menyebarkan gambar saya dan isteri saya di Facebook," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lalu, seorang pemegang akaun Facebook yang menggunakan nama Mohd Fayzul telah memuat naik satu posting dan gambar Muhammad Faiz di sebuah kumpulan komuniti di Facebook mendakwa dirinya telah ditipu.

Muhammad Faiz sehubungan itu berkata, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada malam Sabtu.

Laporan polis yang dibuat oleh Muhammad Faiz di IPD Kuantan pada malam Sabtu.
Laporan polis yang dibuat oleh Muhammad Faiz di IPD Kuantan pada malam Sabtu.

Menurutnya. laporan itu dibuat kerana bimbang keselamatan diri dan sekeluarga serta bagi membersihkan namanya.

Malah, beliau juga sudah menghubungi mangsa yang menular gambarnya itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Mangsa itu mendakwa tidak tahu mengenai perkara tersebut. Saya turut menjelaskan bahawa ada pihak lain yang menggunakan gambar saya untuk tujuan 'scammer'.

"Malah, mangsa itu juga sudah membuat permohonan maaf dan turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Muhammad Faiz turut menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa penipuan.

"Jangan suka-suka tularkan gambar sedangkan kita tidak tahu kesahihannya. Tapi beri maklumat kepada polis untuk siasatan," katanya.