X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada lagi kerjasama dengan PKR: Abdul Hadi

Abdul Hadi ditemui media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat atas talian di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan tiada sebarang jalinan kerjasama antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, pengalaman bekerjasama lebih 10 tahun dengan parti itu memberikan banyak pengajaran dan mereka sesekali tidak akan mengulangi langkah sama.

"Kita berpengalaman sejak 1998, 1999 hingga 20 tahun lebih, cukuplah.... biar dia selesai dululah kes dia 'lemas' itu.

"Pas tidak akan bekerjasama untuk menyelamatkan individu atau kumpulan sebaliknya membina kerjasama untuk menyelamatkan negara dan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara atas talian di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi menegaskan, kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk parti di Sabah dan Sarawak di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) kini semakin kukuh.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, beliau tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan UMNO walaupun belum ada perbincangan rasmi mengenainya.

Katanya, kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan ahli Parlimen daripada UMNO dan akan menjadi kenyataan sekiranya parti itu (UMNO) nekad memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pemilihan mana-mana pemimpin dalam Pas tidak dipengaruhi unsur politik dinasti atau kekeluargaan sebaliknya faktor kelayakan untuk memimpin menjadi keutamaan.

Beliau berkata, selain ciri-ciri kepimpinan, penekanan serius turut diberikan terutama melibatkan latar belakang ilmu dan tahap integriti.

“Anak-beranak atau tidak bukan keutamaan, yang penting keahlian (kelayakan) memimpin dan ciri-ciri kepimpinan.

“Cukup sifat bukan sahaja ilmu termasuk integriti, ini sangat penting,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!