'Dua MKT jadi kambing hitam'

Pembaca Sinar Harian memilih UMNO sebagai parti pilihan pada PRU15.
Pembaca Sinar Harian memilih UMNO sebagai parti pilihan pada PRU15.
A
A
A

SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi UMNO disaran lebih berusaha mengenal pasti dalang parti yang berunding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerjasama politik baharu berbanding menghukum mereka yang membocorkan maklumat parti.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, dalang UMNO yang cuba berbincang dengan Anwar secara bersembunyi disifatkan lebih tidak beretika berbanding dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang didakwa membocorkan maklumat mesyuarat MKT di Janda Baik, bulan lalu.

Jelas beliau, kedua-dua tindakan berkenaan adalah salah dari sudut peraturan parti, namun kepimpinan UMNO tidak boleh bersikap dwistandard dengan hanya mengambil tindakan terhadap perbuatan yang merugikan mereka sahaja.

Bastien Onn
Bastien Onn

"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mendedahkan dalang atau individu yang berunding dengan Anwar kerana ia secara jelas melanggar dasar UMNO iaitu 'No Anwar, No DAP'.

"Saya rasa daripada sibuk mencari siapa ahli MKT yang bocor maklumat mesyuarat parti, lebih baik UMNO sibuk cari siapa dalang mahu kerjasama dengan UMNO.

"Ini kerana tindakan itu secara jelas melanggar dasar UMNO iaitu 'No Anwar, No DAP'.

"Nampaknya, ada pihak cuba mengalihkan perhatian dengan menjadikan dua ahli MKT sebagai kambing hitam. Saya rasa kedua-dua perbuatan salah, tetapi parti tidak boleh bersikap dwistandard," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pendedahan Anwar yang mengesahkan terdapat perbincangan awal dengan wakil UMNO untuk membincangkan rancangan kerjasama politik antara dua parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih terlalu awal tentukan kerjasama PKR-UMNO: Anwar

UMNO tetap tolak kerjasama dengan PKR, DAP: Shahril Hamdan

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan tidak tahu-menahu mengenai perbincangan itu, diikuti Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Suffian dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada Rabu, Ahmad Zahid dilaporkan sebagai berkata, UMNO telah mengenal pasti dua ahli MKT yang didakwa sering membocorkan rahsia mesyuarat MKT dengan mereka berkemungkinan berdepan tindakan pemecatan oleh Lembaga Disiplin parti.

Bastien juga mahu mengingatkan pemimpin yang berunding dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya berani mengusulkan cadangan kerjasama politik dengan blok pembangkang secara terbuka dalam mesyuarat MKT atau Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 kelak.

"Sekiranya perkara ini tidak diterangkan dalam PAU, akar umbi akan terus celaru dengan hala tuju terkini parti selain keadaan itu memberi gambaran sangat negatif dari aspek pegangan politik UMNO sendiri,"

Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah menggesa pucuk kepimpinan UMNO membuat penjelasan berhubung dasar dan hala tuju parti yang diputuskan menerusi mesyuarat MKT di Janda Baik, bulan lalu.

Mohd Irwan Rizal
Mohd Irwan Rizal

Jelas beliau, sehingga kini, masih tiada satu kenyataan rasmi yang jelas dikeluarkan kepimpinan UMNO bagi merungkai teka-teki hala tuju UMNO bagi mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Surat yang dihantar kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tempoh hari masih tidak menjelaskan sama ada UMNO sudah mempunyai dasar baharu selepas pengumuman tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu.

"Mengenai perbincangan dengan Anwar, ahli-ahli UMNO mahu tahu adakah agenda itu turut dibincangkan dalam mesyuarat MKT tempoh hari? Jika ada, pucuk kepimpinan UMNO kena jelaskan pendirian atau dasar baharu kepada kami.

"Jika tiada, parti wajib mengambil tindakan tegas kepada mereka yang cuba mewujudkan penjajaran baharu kerana ahli-ahli UMNO tidak boleh terus terkeliru dengan hala tuju parti yang masih tidak jelas," katanya.