PM ingatkan PDRM tidak menyebelahi mana-mana pihak

Abdul Hamid (kiri), Ayob Khan (kanan) dan Kok Chin (dua dari kanan) selepas mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Utama IPK, Johor Bahru pada Khamis.
Abdul Hamid (kiri), Ayob Khan (kanan) dan Kok Chin (dua dari kanan) selepas mengadakan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Utama IPK, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHARU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin meminta polis tidak masuk campur atau mengambil tindakan yang menyebelahi mana-mana pihak atau parti politik.

Pesanan tersebut disampaikan Perdana Menteri kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu pertemuan selama satu jam lima minit pada Khamis.

Abdul Hamid berkata, Perdana Menteri juga mahu proses undang-undang terus berjalan dengan telus tanpa gangguan dan halangan.

"Itu pesanan Perdana Menteri kepada saya dalam pertemuan dari hati ke hati iaitu saya sebagai Ketua Polis Negara dan beliau sebagai Perdana Menteri pagi tadi (Khamis)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalannya, Datuk Kaw Kok Chin.

Beliau mengulas mengenai terdapat ahli Parlimen yang mendakwa didesak dalam kempen agresif dilakukan pihak tertentu untuk menyokong kerajaan sedia ada dan jika tidak berbuat demikian akan terdedah dengan penganiayaan.

Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa berada pada landasan yang betul dan memainkan peranan seperti ditetapkan selain melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan adil.

"Perkara tersebut perlu dilakukan dengan adil dan jika polis menyebelahi pihak tertentu negara akan menjadi tidak aman dan polis perlu dilihat berada di tengah-tengah.

Artikel Berkaitan:

"Memang ada cubaan daripada pihak (mempengaruhi polis) mentaliti lama daripada dulu lagi, mahu berbaik-baik dengan polis, kalau tak baik nanti semua benda tak boleh jalan, ini idea lapuk.

"Saya tegaskan kepada anak buah saya kita mesti berlaku adil dan jangan dipergunakan atau boleh dipergunakan," katanya.