X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

5 pelajar mengaku salah lakukan amang seksual terhadap junior

Lima pelajar sebuah institusi swasta di Kuala Nerus mengaku salah lakukan amang seksual terhadap empat pelajar junior ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima pelajar senior di sebuah institusi swasta mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dan bersubahat dengan perbuatan tersebut ke atas empat junior yang berusia antara 12 dan 13 tahun selepas dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Khamis.

Kesemua tertuduh berusia antara 14 hingga 17 tahun mengaku salah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK ) 2017 serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Ogos 2020 hingga Januari lalu di institusi berkenaan di daerah Kuala Nerus.

Tiga lagi tertuduh yang berusia antara 14 hingga 16 tahun turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kesalahan itu.

Bagi kesalahan mengikut AKSTK 2017, semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah juga membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM2,000 hingga RM4,000.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full dan Nur Nabihah Hanin Ayim di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium