JPJ saman Instafamous wanita tunggang RX-Z

Tangkap layar video yang dimuat naik di media sosial yang memaparkan aksi seorang instafamous menunggang RX-Z tanpa memakai topi kaledar. Foto: Ihsan pembaca
Tangkap layar video yang dimuat naik di media sosial yang memaparkan aksi seorang instafamous menunggang RX-Z tanpa memakai topi kaledar. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang instafamous dari Dungun memuat naik video menunggang RX-Z tanpa memakai topi keledar di media sosial mengundang padah apabila dia disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, tindakan saman diambil kerana terdapat bukti individu terbabit melanggar undang-undang jalan raya.

"Dengan kepesatan teknogi maklumat sekarang kita lihat ramai yang gemar merakam video ketika menaiki kenderaan untuk dipamerkan sebagai 'content' (kandungan) di media sosial.

"Bagaimanapun, sekiranya ia jelas melanggar undang-undang jalan raya dan boleh dijadikan sebagai bukti, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Zulkarnain berkata demikian ketika diminta mengulas video dan gambar serta notis saman bertarikh 14 Mac 2021 dikeluarkan terhadap seorang wanita yang ditularkan di media sosial.

Beliau berkata, wanita berkenaan telah dipanggil pihak berkuasa berhubung kesalahan itu dan kes itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun.

"Wanita terbabit telah dipanggil dan dia mengakui kesilapannya iaitu tidak memakai topi keledar dan gagal mempamerkan nombor pendaftaran hadapan motosikal.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM3,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, pihak JPJ tidak akan berkompromi sekiranya berdepan dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya malah mempunyai kaedah tersendiri dalam memantau kesalahan pengguna jalan raya yang dipamerkan di media sosial.

"Kita akan siasat semua laporan yang diterima sama ada melalui rakaman gambar atau video termasuk yang disebarkan melalui medium media sosial berkaitan kesalahan jalan raya.

"Siasatan akan dijalankan dan tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 14 saat memaparkan seorang wanita berkebaya merah mempamerkan kecekapan menunggang RX-Z di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun.