'PKR tidak bincang kerjasama dengan UMNO'

 Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan membincangkan mengenai kerjasama dengan UMNO dalam perjumpaan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perjumpaan bersama Presiden PKR yang dijadualkan diadakan di Eastin Hotel, Petaling pada Selasa hanya perjumpaan biasa.

"Saya menerima banyak panggilan hari ini, tak tahu kenapa. Kami tidak bincang tajuk (perkara) ini, perjumpaan petang ini (bersama Presiden PKR) hanya perjumpaan biasa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Ketika ditanya adakah kerjasama dengan UMNO akan berlaku dalam masa terdekat ini dan perkara itu sudah dibincangkan dalam kalangan pemimpin parti, beliau berkata, tiada perbincangan mengenainya setakat ini.

"Masih belum sampai ke tahap itu," katanya.

Kebelakangan ini desas-desus mengatakan PKR berkemungkinan menjalin kerjasama dengan ‘seterunya’ UMNO semakin kuat selepas Anwar mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti.

Pada Ahad menerusi temu bual bersama sebuah akhbar tempatan, Presiden PKR itu berkata, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

“(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita,” katanya memetik laporan akhbar tersebut.

Artikel Berkaitan: