Lelaki mengaku salah cederakan bayi

Muhammad Fakhri (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi Selasa.
Muhammad Fakhri (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pagi Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan mendera seorang bayi lelaki hingga menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan dalam kejadian 6 Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhri Abdul Muthalib,25 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Fakhri yang masih bujang didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan ketika berada di bawah jagaannya sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bahagian bawah mata dan perut.

Dia melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place pada 6 Mac kira-kira jam 9 malam.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menawarkan ikat jamin RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin, namun tertuduh memaklumkan dia hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai orang untuk menjaminnya.

Mahkamah menetapkan 16 April depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa yang dikeluarkan pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Artikel Berkaitan: